DR RAMLAN (kiri) di KLIA sebelum berlepas ke Oslo bersama Chong Wei, kelmarin.
DR RAMLAN (kiri) di KLIA sebelum berlepas ke Oslo bersama Chong Wei, kelmarin.
Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Teka-teki keputusan ujian doping sampel B Datuk Lee Chong Wei masih belum terjawab dan ia mungkin mengambil masa selewat-lewatnya seminggu untuk mengetahui sama ada positif atau negatif.

Semalam, pemain badminton nombor satu dunia itu menyaksikan sendiri ujian dilakukan dua saintis dilantik Agensi Anti-Doping Antarabangsa (WADA) di Hospital Universiti Oslo, Norway pada jam 9 pagi bersamaan 4 petang waktu Malaysia.

Prosedur itu berlangsung selama sejam dan sampel B itu akan kekal di salah sebuah makmal di hospital itu selama 24 jam.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz, ujian yang dilakukan dijalankan secara moden dan keputusannya akan dimaklumkan kepada wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

“Jika positif hukuman bakal menanti Chong Wei dan akan dikenakan penggantungan sementara. Mereka juga sempat menerangkan mengenai keputusan sampel A dan selepas itu kami dibawa ke makmal.

“Chong Wei dibenarkan untuk memeriksa botol sampel B dan memeriksa segala dokumen sekali lagi,” katanya.

Jelasnya, mereka menjadi saksi ketika mesin digunakan untuk membuka botol sampel B dan diuji.

“Ujian itu memakan masa yang lama, tapi kami tidak melihat keseluruhannya, selepas mereka memperoleh keputusan, dua orang saintis itu akan mengesahkannya.

“Selepas itu mereka akan mendaftar keputusan itu dengan Sistem Pengurusan dan Pentadbiran Anti-Doping (ADAM’S) dan memberitahu BWF.

“Keputusan memang dapat dalam tempoh singkat, tapi bila ia akan diumumkan semuanya terpulang kepada BWF.

Jika ikut proses selepas ujian sampel B dilakukan mereka akan menubuhkan Panel Pendengaran Kes untuk mengkaji sama ada berlaku pencabulan peraturan anti-doping dan sekarang statusnya Adverse Analytical Finding (AAF),” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Kenny Goh yang turut menemani Chong Wei di Oslo berkata, pihaknya sudah bersedia dari segala aspek termasuk perundangan.

Ujian sampel B Chong Wei dilakukan selama empat jam, keputusan sama ada ia positif atau tidak hanya akan dimaklumkan oleh BWF yang seterusnya memberitahu kepada BAM dan pemain itu sendiri.

Arena Badminton negara dikejutkan dengan Chong Wei gagal ujian doping bahan terlarang dexamethasone pada Kejohanan Badminton Dunia di Denmark Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 5:07 AM