Kuala Lumpur: Kejohanan Terjun Piala Asia yang akan berlangsung di Pusat Akuatik Kuala Lumpur bakal menyaksikan saingan berkualiti membabitkan peserta negara dan juga jaguh China biarpun tanpa kelibat penerjun handalan negara, Pandelela Rinong.

Kehadiran penerjun handalan itu nyata menyukarkan barisan penerjun negara dalam misi melayakkan diri ke temasya Olimpik Rio dengan ketua jurulatih Yang Zhuliang memohon anak didiknya lebih berwaspada dan fokus terhadap terjunan.

Katanya, tidak mudah barisan penerjun negara yang diketuai pemenang empat pingat emas Sukan SEA Singapura, Ooi Tze Liang (gambar) melepasi syarat kelayakan apabila China dan Korea Selatan menghantar barisan penerjun handalan justeru fokus ketika terjunan amat penting.

“Pada kejohanan kali ini, setiap penerjun akan memberi fokus yang lebih kepada acara individu kerana ia peluang untuk mereka melayakkan diri ke Rio.

“Bagaimanapun ia tidak mudah apabila China yang mempunyai standard kelas dunia menghantar penerjun handalan mereka seperti Tai Xiaohu dan Ji Siyu. Malah ada beberapa penerjun yang sudah melayakkan diri ke Rio turut hadir,” katanya.

Mengulas mengenai ketiadaan Pandelela, Zhuliang berkata pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik London itu direhatkan bagi memberi peluang kepada penerjun lain negara untuk layak ke Olimpik Rio selepas atlet kelahiran Sarawak itu mengesahkan tempat ke Rio.

Selain Pandelela, Wendy Ng turut melepasi syarat kelayakan ke Rio ketika Kejohanan Akuatik Dunia di Kazan Russia awal bulan lalu.

Ditanya mengenai sasaran skuad terjun negara, Zhuliang tidak mahu meletakkan sebarang sasaran namun mengharapkan lebih ramai penerjun negara melepasi syarat kelayakan.

Skuad negara akan dibarisi Tze Liang, Ahmad Amsyar Azman, Chew Yiwei, Muhammad Syafiq Puteh, Nur Dhabitah Sabri, Loh Zhiayi, Traisy Vivien Tukiet, Cheong Jun Hoong, Kam Ling Kar dan Lai Pui Yee .

Selain Malaysia, China dan Korea Selatan, lima negara lain yang turut menyertai kejohanan tiga hari ini membabitkan Jepun, Indonesia, Qatar, Macau dan Uzbekistan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2015 @ 8:46 AM