Kuala Lumpur: Menyaksikan dua penerjun negara melepasi syarat kelayakan ke temasya Olimpik Rio pada Piala Asia di Pusat Akuatik Nasional semalam, jurulatih terjun negara Yang Zhuliang bagaimanapun masih belum boleh menarik nafas lega kerana beliau mahu lebih ramai lagi penerjun negara layak ke temasya terbesar itu.

Ooi Tze Liang dan Nur Dhabitah Sabri mengikut jejak langkah Pandelela Rinong dan Wendy Ng dengan Zhuliang kini akan mengalih tumpuan untuk memberi fokus dalam acara terjun seirama.

“Barisan penerjun negara yang akan ke Olimpik Rio kali ini lebih mantap berbanding Olimpik London dan saya yakin lebih ramai lagi penerjun negara akan layak dan saya meletakkan sasaran pingat di Rio nanti.

“Saya puas hati dengan prestasi semua atlet negara pada kejohanan kali ini dan mereka mempamerkan aksi terbaik biarpun beberapa atlet seperti Chew Yiwei tidak memberangsangkan, namun anda perlu tahu beraksi di tempat sendiri ada kalanya memberi tekanan kepada penerjun itu sendiri,” katanya.

Mengulas mengenai kejayaan Tze Liang yang akan beraksi di Olimpik dalam dua acara, Zhuliang berkata, beliau gembira dengan prestasi dipamerkan penerjun itu apabila dia berjaya mengawal perasaan gementar dan berjaya melakukan terjunan terbaik.

Begitupun, harapan masih diletakkan di bahu Tze Liang untuk cuba mendapatkan tempat dalam terjun seirama selepas ini.

Kejohanan Piala Dunia di Brazil tahun depan akan menjadi kejohanan terakhir buat atlet terjun negara untuk menempah tiket ke Olimpik.

Empat tahun lalu pada temasya London, seramai lapan penerjun negara melayakkan diri membabitkan tiga penerjun lelaki, Huang Qiang, Bryan Nickson Lomas dan Yeoh Ken Nee.

Bagi kategori wanita pula skuad negara dibarisi Pandelela, Leong Mun Yee, Cheong Jun Hoong, Wendy Ng dan Traisy Vivien Tukiet.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2015 @ 8:54 AM