KECEDERAAN tak halang Mun Yee (kanan) menjalani latihan.
KECEDERAAN tak halang Mun Yee (kanan) menjalani latihan.
Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Kecederaan yang sering membelenggu tidak pernah mematahkan semangat penerjun senior negara Leong Mun Yee untuk terus memburu tiket ke temasya Olimpik Rio tahun depan.

Misinya tetap sama dan biarpun usianya sudah menjangkau 31 tahun, ia bukan penghalang buat Mun Yee yang merangkul 14 emas di Sukan SEA sepanjang kariernya meneruskan keinginan memburu tiket ke Rio.

Katanya, dia kini giat berlatih seperti biasa dengan menjalani latihan intensif di China dalam persediaan untuk ke Kejohanan Terjun Dunia di Brazil pada Februari.

“Kecederaan lutut sudah semakin pulih dan saya perlu lebih fokus dalam latihan bagi melayakkan diri ke Rio tahun depan,” katanya.

Mun Yee hanya mempunyai satu lagi peluang di Kejohanan Terjun Piala Dunia untuk menempah tiket ke Olimpik.

Seandainya gagal, Mun Yee yang pernah meraih gangsa dalam acara 10m terjun seirama di Kejohanan Terjun Dunia bergandingan bersama Pandelela Rinong terpaksa melupakan aksi di Rio kerana Kejohanan Terjun Piala Dunia adalah medan terakhir untuk semua atlet melayakkan diri ke Rio.

Namun, berdasarkan pengalaman beraksi di empat temasya Olimpik, Mun Yee yakin mampu melepasi syarat kelayakan ditetapkan itu dan hanya akan menumpukan perhatian kepada acara terjun seirama.

Ditanya sama ada akan meneruskan penguasaan di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur nanti, Mun Yee berkata dia tidak mahu memikirkan perkara itu lagi kerana fokus utama ketika ini adalah Rio.

Sehingga kini empat atlet negara sudah melepasi syarat ke Olimpik dan mereka membabitkan Pandelela dalam acara 10meter platform, Wendy Ng (3m papan anjal), Nur Dhabitah Sabri (10m platform) dan Ooi Tze Liang (3m papan anjal dan 10m platform individu).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2015 @ 8:44 AM