Kuala Lumpur: Selepas melayakkan diri ke Sukan Olimpik dalam dua acara, penerjun negara Ooi Tze Liang (gambar) tidak akan mudah berpuas hati dengan prestasinya, malah atlet kelahiran Pulau Pinang itu bertekad untuk cuba melayakkan diri dalam acara terjun seirama.

Tze Liang yang melepasi syarat kelayakan secara merit dalam acara 10meter platform dan 3m papan anjal ketika beraksi di Kejohanan Terjun Piala Asia awal bulan ini akan mencuba nasib bersama Ahmad Amsyar Azman dalam acara 3m papan anjal seirama dan 10m platform terjun seirama bersama Chew Yiwei apabila menyertai Kejohanan Terjun Piala Dunia di Brazil Februari tahun depan.

Dia yang baru pulang bercuti berkata, perlu fokus kepada kelemahan diri dan cuba memperbaikinya di tiga kejohanan iaitu Grand Prix Singapura, Malaysia dan Australia sebelum menyertai Piala Dunia.

“Saya tidak mahu terlalu memikirkan mengenai keupayaan untuk menghadiahkan pingat buat negara ketika ini kerana perlu memberi fokus kepada memperbaiki terjunan agar lebih mantap.

“Ketika ini apa yang ada dalam fikiran saya adalah untuk membuatkan terjunan lebih baik terutama ketika kejohanan selain cuba meningkatkan lagi stamina,” katanya.

Ditanya sama dia mampu mengulangi pencapaian yang dilakukan Pandelela Rinong ketika temasya Olimpik London, Tze Liang berkata, berusaha untuk menstabilkan mental adalah lebih penting dari memikirkan untuk memenangi pingat kerana sasaran sebenar adalah untuk menikmati setiap terjunan.

Skuad terjun negara antara sukan paling berjaya apabila empat penerjunnya menempah tiket terawal ke Olimpik Rio tahun depan ketika atlet lain sedang bergelut mengejar syarat kelayakan.

Mereka yang sudah mengesahkan tempat ialah Pandelela dalam acara 10m platform, Wendy Ng (3m papan anjal), Nur Dhabitah Sabri (10m platform) dan Tze Liang (3m papan anjal dan 10m platform individu).

Bagaimanapun, pada temasya berlangsung di London, seramai lapan penerjun negara layak membabitkan tiga penerjun lelaki, Huang Qiang, Bryan Nickson Lomas dan Yeoh Ken Nee.

Bagi kategori wanita pula skuad negara dibarisi Pandelela, Leong Mun Yee, Cheong Jun Hoong, Ng Yan Yee dan Traisy Vivien Tukiet.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2015 @ 5:08 AM