SKUAD terjun negara tiba di KLIA selepas menyertai Kejohanan Dunia FINA di Kazan, Kazakhtan.
SKUAD terjun negara tiba di KLIA selepas menyertai Kejohanan Dunia FINA di Kazan, Kazakhtan.
Oleh Azlan Muhammad Zain

Sepang: Ketua jurulatih terjun negara Yang Zhuliang mengingatkan Pandelela Rinong untuk terus berusaha dengan lebih keras menjelang temasya Olimpik Rio pada Ogos tahun depan.

Ratu terjun negara berusia 22 tahun itu muncul atlet pertama Malaysia mengesahkan tempat ke Olimpik 2016 minggu lalu selepas muncul 12 penerjun terbaik 10 meter platform dan seterusnya meraih gangsa acara berkenaan.

Bagaimanapun, Zhuliang mahu pemenang pingat gangsa Olimpik 2012 London itu memberikan tumpuan terhadap tempoh yang ada bagi memastikan kejayaan tiga tahun lalu mampu diulangi di Rio.

“Ketika ini, sukar untuk mengatakan dia mampu meraih emas. Namun, apa yang penting, bermula sekarang adalah berlatih bersungguh-sungguh.

“Dia perlu meningkat ke satu tahap yang lebih baik untuk mencapai sasaran ditetapkan,” katanya sejurus tiba bersama skuad negara dari Kejohanan Dunia yang berlangsung di Kazan, Russia semalam.

Pandelela bagaimanapun masih belum kembali ke tanah air dan hanya akan pulang dari London atas urusan peribadi, Ahad ini.

Ditanya mengenai persiapan untuk Pandelela bagi menghadapi Sukan Olimpik, Zhuliang berkata, beliau akan menyiapkan penerjun itu agar bersedia bagi mengharungi cabaran tertinggi itu nanti.

“Untuk Rio, kita memang menyasarkan pingat, namun persediaan bukan saja tertumpu terhadap Pandelela namun penerjun lain juga,” katanya.

Selain Pandelela, turut melayakkan diri ke Rio ialah Ng Yan Yee dengan peluang penerjun lain untuk melakukannya adalah menerusi Piala Asia yang akan berlangsung di Bukit Jalil, bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2015 @ 9:25 AM