Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Kejayaan ratu terjun negara Pandelela Rinong menjadi atlet pertama negara layak ke temasya Sukan Olimpik Rio mencetuskan kebanggaan buat Majlis Sukan Negara (MSN) apabila atlet kelahiran Sarawak itu mencapai sasaran ditetapkan.

Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, sekiranya pemenang gangsa itu ditawarkan berada dalam program podium, beliau berharap pihak Institut Sukan Negara (ISN) bersama ketua jurulatih Yang Zhuliang dapat meningkatkan lagi usaha mengembalikan prestasi Pandelela ke tahap sebenar.

Katanya, biarpun Pandelela sudah melepasi syarat kelayakan ke Olimpik Rio, prestasinya masih jauh daripada tahap keupayaan sebenar atlet itu kerana terganggu dengan kecederaan dialami.

“MSN gembira kerana Pandelela sudah berjaya namun sedikit kecewa berikutan dalam sasaran awal membabitkan atlet terjun seirama kerana ramai masih belum layak. Bagaimanapun saya percaya atlet terjun negara masih boleh melepasi syarat kelayakan kerana masih ada lagi beberapa atlet yang akan bersaing dalam acara individu.

“Begitupun saya mengharapkan mereka layak ke Rio lebih awal bagi memudahkan persiapan lebih terperinci dilakukan untuk ke Rio,” katanya.

Seandainya barisan penerjun gagal menempatkan diri di Kejohanan Dunia, mereka bakal menempuh laluan sukar namun ia bukan satu yang mustahil untuk dilakukan.

Untuk melepasi syarat kelayakan ke Sukan Olimpik setiap atlet yang beraksi bagi kategori individu perlu melayakkan diri ke pusingan akhir, sekali gus menempah tiket ke Olimpik dalam saingan membabitkan 12 peserta manakala bagi aksi terjun seirama, barisan negara perlu menduduki tempat ketiga terbaik keseluruhan untuk layak secara automatik.

Empat tahun lalu pada temasya berlangsung di London, seramai lapan penerjun negara melayakkan diri ke temasya terbesar dunia itu membabitkan tiga penerjun lelaki, Huang Qiang, Bryan Nickson Lomas dan Yeoh Ken Nee.

Bagi kategori wanita pula skuad negara dibarisi Pandelela, Leong Mun Yee, Cheong Jun Hoong, Ng Yan Yee dan Traisy Vivien Tukiet.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2015 @ 9:47 AM