Taipei: Perancangan menjual kad perjalanan prabayar memaparkan wajah bintang porno terkenal Jepun tetap akan diteruskan, kata pihak berkuasa pengangkutan semalam walaupun dibantah kumpulan hak asasi wanita dan ahli politik.

Penjualan dua versi kad berkenaan digelar ‘Angels’ dan ‘Demons’ yang memaparkan wajah Yui Hatano, 27, dimulakan tengah malam semalam dengan harga Tw$500 (RM64), kata EasyCard Corporation.

Kad itu terhad kepada penjualan melalui telefon dan tidak dilakukan di kedai atau secara atas talian sebagai satu kompromi dipersetujui pengedar.

“Bagi menghormati pandangan berbeza berhubung isu ini, selain mengambil kira perniagaan syarikat berkenaan, kami memutuskan mengehadkan jumlah kad dijual,” kata syarikat dalam satu kenyataan.

Syarikat turut memohon maaf kerana mencetuskan kontroversi dan berjanji akan menyemak peraturan berhubung kad perjalanan pada masa akan datang.

Walaupun gambar pada kad berkenaan tidak lucah, ia mencetuskan kemarahan kumpulan hak asasi wanita dan ahli politik yang menganggap penggunaan imej bintang porno sebagai tidak wajar.

Malah, Datuk Bandar Taipei, Ko Wen-je didesak memecat pengerusi EasyCard, Tai Chi-chuan. Ko mengarahkan pengeluaran kad dihadkan kepada 15,000 tetapi tidak memecat Tai.

Kad itu turut diboikot penjualannya di 7-Eleven dan rangkaian kedai runcit terkemuka. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2015 @ 9:13 AM