MA (kanan) tunduk meminta maaf ketika sidang media bersama pemimpin kanan KMT.
MA (kanan) tunduk meminta maaf ketika sidang media bersama pemimpin kanan KMT.

Taipei: Presiden Taiwan semakin didesak meletak jawatan sebagai ketua parti pemerintah Kuomintang (KMT) yang pro-China selepas kekalahan teruk dialami dalam pilihan raya kerajaan tempatan.

Presiden Ma Ying-jeou dilihat tunduk dan memohon maaf di ibu pejabat KMT manakala perdana menterinya, Jiang Yi-huah meletak jawatan sejurus selepas calon bebas disokong pembangkang utama Taiwan, Parti Progresif Demokratik (DPP), Ko Wen-je diisytiharkan mengalahkan calon KMT Sean Lien untuk menjadi Datuk Bandar Taipei.

Ko memenangi 57 peratus undian seterusnya menamatkan pegangan 16 tahun parti KMT di bandar itu.

Sementara itu, kawat berduri terus dipasang di atas pintu pagar di luar Ibu Pejabat KMT selepas sekumpulan kecil penunjuk perasaan berhimpun di luar sambil menjerit “Ma, letak jawatan!”

Demonstrasi itu berjaya diredakan, namun sentimen negatif bukan perkara baru di Taiwan.

Mac lalu, ribuan orang muda menunjuk perasaan di Parlimen - yang dikenali sebagai Pergerakan Bunga Matahari - kerana membantah perjanjian perdagangan yang turut lebih merapatkan hubungan dengan Beijing.

China adalah rakan niaga terbesar Taiwan dengan hubungan yang selesa berurusan dengan parti KMT yang ditubuhkan Chiang Kai-shek - bekas pemimpin yang berpindah ke Taiwan selepas kalah dalam perang saudara China pada 1949.

Sebaliknya, DPP terkenal kerana memperjuangkan kebebasan Taiwan.

Ramai menganggap China melihat Taiwan sebagai miliknya dan berusaha menyerapnya semula.

DPP kini mengawal bandar utama di selatan Taiwan selain Taipei dan Taichung yang satu ketika dulu dikuasai KMT.

Pengerusi DPP, Tsai Ing-wen yang juga dilihat pencabar utama untuk jawatan presiden pada pilihan raya 2016 berkata, keputusan itu kemenangan besar untuk rakyat. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 5:13 AM