Amir Abd Hamid dan Anis Syuhada Mohd Rosli


Kuala Lumpur: Ahli sindiket dikesan membayar di antara RM1,500 hingga RM1,800 kepada individu yang sanggup menjual kad mesin juruwang automatik (ATM) dan akaun perbankan.

Kad ATM dan akaun bank terbabit kemudian dijual kepada sindiket lain, sebelum digunakan bagi aktiviti jenayah siber.

Modus operandi sindiket pembekal keldai akaun itu dibongkar hasil tangkapan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Daerah Serdang, sekitar Puchong, Gombak dan Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, dalam operasi itu, pihaknya menahan 10 individu berusia 25 hingga 39 tahun termasuk dua wanita.

Tambahnya, lapan telefon bimbit, 38 kad ATM, 20 kad Sim MYTPG (Singapura), jumlah wang tunai RM 3,957 dan kereta antara barangan yang turut dirampas.

"Sindiket dipercayai beroperasi sejak tahun lalu dan pemilik kad disyaki menjual kad ATM mereka kerana terpedaya dengan iklan pinjaman wang dalam laman sosial yang meminta mereka untuk menyerahkan kad ATM sebagai cagaran," katanya.

Kad ATM itu dijual kepada sindiket penipuan dengan harga sekurang-kurangnya RM2,500 setiap keping, katanya.

Tambahnya, sebahagian orang awam yang menjual akaun itu pula dipercayai tidak mengetahui ia digunakan dalam aktiviti jenayah.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dan sentiasa berwaspada individu yang menawarkan untuk membeli kad ATM di pasaran.

AA Anbalagan (dua kanan) melihat barang rampasan ketika sidang media. FOTO Azhar Ramli
AA Anbalagan (dua kanan) melihat barang rampasan ketika sidang media. FOTO Azhar Ramli

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 12:29 PM