Dr Fariza Hanim Sahir (kiri) bersama anak yatim yang mengunjungi klinik untuk mendapatkan rawatan dan ubatan percuma. Foto : ROSMAN SHAMSUDIN
Dr Fariza Hanim Sahir (kiri) bersama anak yatim yang mengunjungi klinik untuk mendapatkan rawatan dan ubatan percuma. Foto : ROSMAN SHAMSUDIN
Rosman Shamsudin


KAD Anak untuk anak yatim dan yatim piatu yang diperkenalkan pasangan doktor di Behrang mendapat sambutan golongan sasar sejak kad itu dilancarkan bulan lalu.

Kad yang diasaskan Dr Hanafi Yahya dan Dr Fariza Hanim Sahir, kedua-duanya berusia 35 tahun itu membolehkan pemegang kad iaitu golongan sasar berkenaan yang berusia 18 tahun ke bawah mendapat rawatan dan ubat-ubatan secara percuma di Klinik Dr Fariza di Bandar Behrang 2020.

Pemegang kad itu turut menikmati potongan harga belian di 15 kedai yang menjadi panel.

Dr Hanafi berkata, permohonan Kad Anak perlu melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Muallim.

Katanya, sehingga kini JKM sudah menerima 150 borang permohonan dan daripada jumlah itu seramai 126 anak yatim dan yatim piatu sudah menggunakan kad itu untuk menikmati kemudahan diberikan.

“Secara purata satu hingga lima pemegang kad itu mengunjungi klinik isteri saya setiap hari untuk menerima rawatan dan ubat-ubatan secara percuma dan mereka amat berpuas hati dengan perkhidmatan serta layanan yang diberikan.

“Masyarakat setempat di daerah ini pula menyambut baik usaha saya dan isteri untuk membela kebajikan golongan ini.

“Saya harap mereka yang layak tetapi belum memohon kad ini boleh mengunjungi pejabat JKM kerana keahliannya masih terbuka,” katanya ketika dihubungi NSTP di Behrang, hari ini.

Kad Anak di daerah Muallim itu dilancarkan Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang, bulan lalu.

Dr Hanafi berkata, golongan sasar berusia 18 tahun ke bawah daripada semua kaum boleh memohon kad itu

Katanya, beliau percaya lebih ramai golongan sasar akan mendapat manfaat dan berharap pemimpin serta masyarakat setempat memaklumkan kepada mereka supaya usahanya untuk membantu golongan itu tercapai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Disember 2018 @ 6:10 PM