Beijing: Seorang lelaki yang mengalami bisul dan gatal-gatal selepas pulang dari Afrika terkejut apabila mendapati keadaan itu disebabkan 20 ulat yang hidup di dalam kulitnya.

Lelaki itu yang hanya dikenali sebagai Ma, dari Guangzhou, mendapat rawatan doktor selepas mengalami bisul yang menyakitkan selepas bekerja di Afrika selama enam bulan.

Selepas dua minggu, keadaannya masih teruk menyebabkan dia mendapatkan rawatan pakar dermatologi di Hospital Shenzhen Nanshan.

Hasil pemeriksaan pakar itu menemui ulat yang hidup di dalam kulit di perut dan paha kanannya.

Pemeriksaan darahnya menunjukkan tahap eosinofil - sel darah putih yang membunuh parasit dan jangkitan kuman - tinggi seterusnya mengesahkan diagnosis itu.

Lelaki itu kemudian menjalani pembedahan kecil untuk mengeluarkan semua 20 ulat berkenaan dari badannya.

Ulat itu dikenal pasti jenis lalat tumbu, spesies langau yang hidup dengan memakan tisu manusia yang sering didapati di timur dan tengah Afrika.

Lalat tumbu bertelur di atas tanah sebelum larva dikenali sebagai cacing Cayor merayap sehingga menemui badan manusia atau haiwan mamalia lain sebelum memasuki kulit dan membentuk bisul.

Larva itu melalui tiga tahap pertumbuhan yang memakan masa lapan hingga 12 hari sebelum jatuh ke tanah dan mengulangi kitaran itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 5:03 AM