KUTU daripada kucing boleh menyebabkan radang pada kulit.
KUTU daripada kucing boleh menyebabkan radang pada kulit.
Nurul Husna Mahmud


SETIAP daripada kita tentu jarang dapat mengelak daripada gigitan serangga. Gigitan nyamuk dan kutu biasanya meninggalkan gejala ringan iaitu gatal dan kemerahan berbanding serangga berbisa seperti lebah yang lebih menyakitkan.

Gigitan yang menyebabkan gejala ringan biasanya bermula dengan rasa gatal, kulit menjadi kemerah-merahan dan timbul bintik seperti ruam. Andai digigit serangga berbisa pula, tentu terasa sakit mengejut diikuti panas, kebas dan berdenyut yang menyakitkan.

Jika berlaku sedemikian, segeralah dapatkan rawatan di hospital kerana ia boleh menjadi komplikasi lebih serius seperti demam, mual dan muntah, pening dan pitam, jantung berdegup pantas, rasa tercekik dan susah bernafas.

Sebaiknya, kenali serangga dan jenis gigitan mahupun sengatan terlebih dahulu bagi mengelak risiko silap mengambil ubat.

1) Kutu

Dalam kes ringan, kutu menghisap darah ‘perumahnya’ untuk makanan. Pada badan manusia biasanya kutu berumah di rambut. Namun dalam kes rumit, kutu dari haiwan seperti kucing boleh memberikan kesan lebih buruk.

Jika tidak ditangani, gigitan menyebabkan radang kulit kemerahan menjadi lebih rumit seperti masalah kulit dan masuk ke dalam darah. Maka kemungkinan dialami termasuk serangan dermatitis, eritema, pulicosis, brucellosis, ensefalitis dan salmonellosis.

2) Lalat

Lalat tidak menghurung makanan semata-mata, sebaliknya ada jenis lalat menggigit dan aktif menyebarkan penyakit.

Contohnya lalat pasir phlebotomine biasa ditemui di Eropah, menyebarkan parasit Leishmania. Bentuk yang paling umum implikasi lalat itu ialah leishmaniasis kutaneus, yang menyebabkan luka pada kulit.

Dalam kes lebih rumit, jangkitan kuman pada organ dalaman biasanya limpa, hati, dan tulang sum sum (leisymaniasis visera).

3) Nyamuk

Gigitan nyamuk yang biasa hanya menyebabkan gatal. Namun, ada gigitan spesies keluarga serangga ini boleh menyebarkan penyakit serius seperti virus Zika, demam Nil Barat, malaria, demam kuning dan demam denggi berdarah.

4) Semut

Semut kecil saja tetapi ada spesies yang agresif seperti semut api dan kerengga yang mula mengatur serangan apabila sarangnya terganggu. Dalam kategori sengatan berbahaya, semut api paling menyakitkan kerana ia beberapa kali menyuntikkan racun yang disebut solenopsin.

5) Lebah

Ketika menyengat, lebah akan meninggalkan sengat yang mengandungi racun terlekat pada kulit. Jika sengatan itu tidak segera dicabut, makin banyak racun akan dilepaskan dan komplikasi menjadi lebih buruk.

6) Tebuan

Seperti lebah, sengatan tebuan juga mengandung racun. Berbeza dengan lebah yang hanya menyengat sekali, tebuan boleh menyengat beberapa kali dalam setiap serangan.

Kesan serangan tebuan lebih buruk berbanding lebah dan ada kala serangan teruk boleh membawa maut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 5:00 AM