V R Ravi Chandan (kiri) dan Inspektor Nurleyana Diana Stephenson menunjukkan 4.65 kilogram dadah yang dirampas. FOTO Yahya Zainuddin
V R Ravi Chandan (kiri) dan Inspektor Nurleyana Diana Stephenson menunjukkan 4.65 kilogram dadah yang dirampas. FOTO Yahya Zainuddin
Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop


Ipoh: Polis Perak menumpaskan kegiatan pengedaran dadah di kawasan Kuala Kangsar dan Sungai Siput dengan tertangkapnya tiga lelaki termasuk merampas 4.65 kilogram (kg) dadah dipercayai ganja bernilai RM46,500.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Superintendan V R Ravi Chandan berkata, polis menahan ketiga-tiga suspek menaiki kereta di Kampung Sungai Dal, Padang Rengas, Kuala Kangsar, kira-kira 2 petang semalam.

Katanya, pemeriksaan dijalankan kemudiannya menemui lima ketulan mampat dadah dipercayai ganja di dalam beg yang disimpan di dalam kereta berkenaan.

"Ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 21 hingga 24 tahun yang ditahan itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan siasatan sedang dijalankan bagi mengetahui sumber dadah berkenaan diperoleh.

"Ujian air kencing mendapati ketiga-tiga mereka positif dadah jenis ganja. Suspek direman hingga 1 September ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952, " katanya dalam sidang media di IPK Perak, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2015 @ 12:18 PM