Abdul Azizi (dua dari kanan) menunjukkan ganja yang dirampas. FOTO Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
Abdul Azizi (dua dari kanan) menunjukkan ganja yang dirampas. FOTO Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Kuching: Polis berjaya mematahkan satu aktiviti pengedaran dadah dengan tertangkapnya tiga lelaki dan merampas ganja seberat 1.18 kilogram di Petra Jaya, di sini, semalam.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Abdul Aziz Yusof berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dan JSJN Kuching membuat serbuan di rumah di Petra Jaya, kira-kira 12.30 tengah hari.

"Serbuan itu berjaya menahan dua lelaki berusia 20 tahun dan menemui ganja seberat 1.18 kilogram bernilai RM24,000, ada yang sudah siap dibungkus dipercayai dalam proses untuk diedarkan.

"Pemeriksaan turut menemui peralatan bagi membungkus dan menimbang ganja," katanya pada sidang media di IPK Sarawak di sini, hari ini.

Menurut Abdul Aziz, susulan penahanan dua lelaki berusia 20 tahun itu, polis berjaya menjejaki seorang lagi rakan mereka berusia 19 tahun di rumah di Matang di sini, semalam.

Katanya, pemeriksaan mendapati ketiga-tiga suspek yang ditahan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan mereka dikatakan tidak mempunyai pekerjaan tetap.

"Hasil ujian saringan dadah mendapati ketiga-tiganya negatif dadah," katanya.

Abdul Aziz berkata, ketiga-tiga suspek direman sehingga 4 Ogos depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2016 @ 5:54 PM