Pemangku Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan (dua dari kanan) menunjukkan ganja mampat yang dirampas. - Foto EFFENDY RASHID
Pemangku Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan (dua dari kanan) menunjukkan ganja mampat yang dirampas. - Foto EFFENDY RASHID
Mohd Hafizee Mohd Arop


Ipoh: Lebih 69 kilogram ganja yang dirampas daripada tiga lelaki di sebuah rumah di Taman Cempaka, Ipoh, awal pagi semalam, dipercayai diperoleh dari negara jiran untuk edaran sekitar Perak dan Lembah Klang.

Harian Metro hari ini melaporkan, dalam serbuan 1 pagi itu, 70 ketulan ganja mampat ditemui dalam kereta Toyota Avanza di depan rumah berkenaan.

Serbuan dijalankan Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak dan menahan tiga suspek berusia antara 31 hingga 38 tahun yang direman sehingga 27 Mac ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Pemangku Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata, kesemua ganja dirampas itu dianggar bernilai RM250,000 dan boleh digunakan lebih 140,000 penagih.

Katanya, dua daripada suspek adalah penganggur manakala seorang lagi bekerja di sebuah bengkel dan dipercayai baru tiga bulan menjalankan kegiatan itu.

"Ujian air kencing mendapati semua mereka negatif dadah manakala seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan Seksyen 395 Kanun keseksaan iaitu samun.

"Siasatan lanjut masih dijalankan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2017 @ 12:44 PM