LATIFF menunjukkan pokok ganja yang dirampas. FOTO Supian Ahmad
LATIFF menunjukkan pokok ganja yang dirampas. FOTO Supian Ahmad
Mohd Hafizee Mohd Arop


Ipoh: Polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun dan merampas 2.7 kilogram dadah jenis heroin, 59 gram syabu dan tiga batang pokok ganja dianggarkan keseluruhan bernilai RM171,000.

Dalam serbuan di sebuah rumah di Pasir Puteh, di sini, jam 7.30 petang kelmarin oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak menemui semua dadah berkenaan di dalam rumah, manakala pokok ganja ditemui di tanam di dalam pasu di luar rumah.

Timbalan Ketua JSJN Perak, Superintendan Abdul Latiff Mehat berkata, lelaki berkenaan yang bekerja sebagai pemandu lori ditahan dan semakan rekod mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Katanya, turut dirampas dalam serbuan itu ialah sebuah kereta jenis Proton Iswara dianggarkan bernilai RM15,000 dan dua motosikal bernilai RM7,500.

"Suspek direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 18 Mei ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 bagi kesalah memiliki dadah, manakala Seksyen 6B ADB 1952 bagi kesalahan menanam pokok ganja.

"Keseluruhan dadah yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada lebih kurang 2,400 penagih dan disyaki untuk edaran sekitar negeri ini," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2016 @ 11:16 AM