Muhammad Azhar dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis, dua tahun lalu. FOTO Muhaizan Yahya
Muhammad Azhar dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis, dua tahun lalu. FOTO Muhaizan Yahya
Mohd Hafizee Mohd Arop


Ipoh: Seorang lelaki dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 4,540 gram, dua tahun lalu, manakala rakan serta adiknya dilepas dan dibebaskan atas tuduhan sama.

Keputusan itu dijatuhkan Pesuruhjaya Kehakiman, SM Komathy Suppiah terhadap Muhammad Azhar Muhammad Zaini, 25, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.

Dua lagi tertuduh iaitu Ahmad Asraf Mohd Nasir, 26, dan Muhammad Naim Muhammad Zaini, 23, dilepas dan dibebaskan selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah.

Ketiga-tiga mereka didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 4,540 gram di gerai makan di Batu 19, Kuala Dal, Kampung Kuala Dal, Padang Rengas, Kuala Kangsar, jam 2 petang, 25 Ogos 2015.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama iaitu gantung sampai mati.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Wan Azimah Yaacob dan ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Muhammad Farhan Ahmad Fadzil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2017 @ 1:37 PM