Kuala Lumpur: Telekom Malaysia Berhad (TM) menerusi perkhidmatan IPTVnya, HyppTV membelanjakan RM40 juta bagi perbelanjaan operasinya (Opex) untuk setahun.

Timbalan Presiden Eksekutif New Media TM, Jeremy Kung berkata, Opex terbabit adalah bagi perbelanjaan sepanjang setahun pengenalan HyppTV kepada umum termasuk penghasilan produksi sendiri, drama dan penyedia kandungan.

Katanya, setakat ini 60 peratus penyedia kandungan tempatan bersama dengan HyppTV menawarkan saluran yang dapat memenuhi permintaan penonton.

“Kami menganggarkan Opex bagi tahun depan, akan lebih tinggi berbanding tahun ini kerana banyak kandungan boleh dibangunkan untuk pelbagai segmen.

“Kami mengalu-alukan penyedia kandungan tempatan untuk menjalin kerjasama dengan HyppTV bagi meluaskan lagi saluran sedia ada,” katanya selepas pelancaran program 1 Jam Makan HyppSensasi saluran 116 HyppTV, di sini, semalam.

Hadir sama, Naib Presiden Eksekutif Perniagaan dan Operasi Media, Emily Wee dan Ketua Pegawai Eksekutif FroedChillies Food Network, Mohd Adly Rizal.

Kung berkata, lebih 700,000 pelanggan UniFi melanggan HyppTV dan pihaknya menjangka jumlah itu akan meningkat pada masa akan datang kerana liputan yang lebih baik ditawarkan kepada masyarakat.

Menurutnya, HyppTV menawarkan lima pakej pilihan untuk pelanggan pada harga serendah RM31.80 sebulan dan pelanggan boleh membeli satu saluran pada harga serendah RM6.

Program 1 Jam Makan mula ditayangkan pada 16 Ogos 2015 setiap Ahad jam 9.30 malam dengan 13 episod bagi musim pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2015 @ 6:21 AM