Telekom Malaysia Berhad (TM) menerusi perkhidmatan IPTVnya, HyppTV melancarkan tiga pakej nilai baru untuk pelanggannya termasuk Pek Jumbo, Aneka dan Varnam yang disasarkan kepada pengguna berbeza.

Dua lagi pakej masih dikekalkan bersama tiga pakej baru iaitu Pek Ruby berharga RM30 sebulan yang menyediakan pelbagai saluran berbahasa Cina serta Pek Sukan bagi penggemar saluran sukan, ditawarkan pada harga RM50 sebulan.

Naib Presiden Eksekutif, Media Baru TM, Jeremy Kung berkata, Pek Jumbo memberi pilihan saluran terbaik menggabungkan hiburan, berita, kanak-kanak dan gaya hidup, malah termasuk kandungan sukan premium pada harga hanya RM60.

"Ia sekali gus memberi penjimatan sebanyak RM270 sebulan.

"Pengguna HyppTV kini boleh menikmati program bertaraf antarabangsa eksklusif seperti The House of Cards, Extant, Gotham atau Grimm, malah juga acara sukan secara langsung seperti Liga Juara-Juara UEFA atau Liga Perdana Inggeris Barclays," katanya

Pek Aneka membawakan buat peminat hiburan berbahasa Melayu dengan pelbagai saluran termasuk filem, drama, gaya hidup dan animasi.

Dengan pakej ini, peminat boleh menonton drama seperti 'Permainan Cinta', 'BIB', 'Cinta Si Egois', 'Selipar Jepun dan Stiletto Merah' dan 'Tu Dia'.

Pakej ini lebih tertumpu kepada saluran tempatan seperti HyppSensasi, Dunia Sinema, Hypp Variasi, Al Hijrah On Demand, Astro Oasis dan termasuklah Discovery Kids, Sony Max dan Channel M bagi kepelbagaian pakej salurannya.

HyppTV turut menawarkan kepada penggunanya untuk menonton rancangan kegemaran mereka ketika berada di luar rumah menerusi aplikasi HyppTV Everywhere yang boleh dipindah turun daripada AppStore atau Google PlayStore serta melalui pelayar web di komputer.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 January 2015 @ 5:00 AM