Tiga nelayan warga Indonesia yang diselamat selepas bot dinaiki mereka mengalami kerosakan sebelum hanyut memasuki perairan negara. FOTO Ihsan APMM
Tiga nelayan warga Indonesia yang diselamat selepas bot dinaiki mereka mengalami kerosakan sebelum hanyut memasuki perairan negara. FOTO Ihsan APMM
Asrol Awang


Kuantan: Tiga warga Indonesia, termasuk tekong selamat selepas bot yang mereka naiki rosak sebelum hanyut memasuki perairan negara, kelmarin.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim MalaysiaPahang, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, bot terbabit ditemui kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Perantau kira-kira 42 batu nautika timur laut Pulau Tioman pada jam 1 tengah hari.

Katanya, kapal KD Perantau menunda bot terbabit ke lokasi kira-kira 2.1 batu nautika tenggara Kampung Juara, perairan Pulau Tioman untuk urusan penyerahan kepada Maritim Malaysia.

"Sebaik menerima laporan terbabit, bot ronda Perkasa 1246 diatur gerak ke lokasi itu.Bot itu ditunda dengan bantuan bot nelayan tempatan ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading dan selamat tiba kira-kira jam 9 malam tadi," katanya dalam satu kenyataan media.

Zainudin berkata, mangsa yang ditemui selamat di atas bot adalah tekong, Shahbuddin, 50 bersama dua kru, Firdaus, 42 dan Reno Hernandes, 32.

"Keluarga mangsa turut dihubungi Maritim Malaysia untuk pengesahan identiti sejurus tiba di jeti.

"Berdasarkan maklumat mangsa, bot yang mereka naiki dikenali KM Bintang Jaya 9 dari Tanjung Balai Karimun, Natuna, Indonesia rosak dan hanyut selama enam hari hingga memasuki perairan negara sebelum dikesan dan ditemui," katanya.

Beliau berkata, MRSC Kuantan menghubungi Badan SAR Nasional Indonesia (Basarnas) untuk mendapatkan pengesahan laporan kehilangan bot terbabit.

"Pihak Basarnas mengesahkan bot terbabit dilaporkan tidak dapat dihubungi sejak beberapa hari lalu.

"Situasi kejadian dimaklumkan kepada Konsulat Indonesia dan masih menunggu maklum balas rasmi oleh Basarnas," katanya.

Sementara itu, Zainudin berkata, pihaknya mengalu-alukan orang ramai untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau MERS 999.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 4:20 PM