PELANCARAN Saluran Laku Mall HD.
PELANCARAN Saluran Laku Mall HD.
Ramlah Zainal


HyppTV melancarkan saluran TV beli-belah terbaru dalam bahasa Malaysia iaitu Laku Mall yang menawarkan pelbagai pilihan produk terbaik kepada pelanggan bermula 1 Jun lalu.

Ia membabitkan kerjasama dengan Mangkin Prestij Sdn Bhd dan M Tanochi Home Shopping Sdn Bhd.

Naib Presiden Eksekutif New Media, Telekom Malaysia Berhad (TM) Jeremy Kung berkata, pelanggan HyppTV dapat menikmati saluran Laku Mall HD yang menawarkan pelbagai produk berkualiti tinggi dari Korea di HyppTV saluran 123.

“Bertepatan dengan tema kempen #tambahlagi Keajaiban Ramadan dan Raya di HyppTV, saluran ini akan menambah lagi medium membeli-belah secara mudah di kaca TV.

“Laku Mall HD juga menawarkan kemudahan selaras dengan janji, hidup lebih mudah TM melalui pengalaman membeli-belah yang mudah, cepat dan menjimatkan masa sesuai dengan slogan ‘Setiap masa bernilai’.

“Saluran Laku Mall ini dapat ditonton secara percuma menerusi HyppTV di rumah atau di mana saja dengan aplikasi mobil HyppTV Everywhere,” katanya.

Jeremy berkata, pengenalan saluran terbaru Laku Mall juga adalah salah satu daripada usaha untuk menggembirakan pelanggan dan menjadikan mereka kekal berhubung bertepatan dengan janji ‘Hidup Lebih Mudah’.

“Menerusi kempen sempena Ramadan dan Raya, #tambahlagi yang membawa maksud kami akan terus menambah keriangan dan keseronokan untuk semua pelanggan semasa musim perayaan ini.

“Penambahan saluran baru ini turut memberi peluang kepada penonton untuk meluangkan masa serta mengeratkan hubungan bersama keluarga dan insan tersayang sambil menikmati kandungan bertaraf antarabangsa dengan keselesaan ketika berada di rumah pada bulan mulia ini bertepatan kempen TM, #KeajaibanRamadan,” katanya.

Jeremy ditemui pada majlis pelancaran dan sidang akhbar saluran Laku Mall yang berlangsung di The Gardens, Midvaley City, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan M Tanochi Home Shopping Sdn Bhd, Joo Hyuk Lee.

Gandingan mantap tiga hos

Saluran TV beli-belah Laku Mall juga menampilkan gandingan mantap barisan hos iaitu Dynas Mokhtar, Azza Elite dan pendatang baru, Iskandar Ng yang akan membuat demonstrasi produk ditawarkan seperti barangan kediaman, dapur, kecantikan, fesyen, bayi, kanak-kanak dan digital.

Ketika ditemui, Azza mengakui teruja diberi kepercayaan menggalas amanah itu.

“Terus terang, tawaran menjadi hos saluran Laku Mall bagaikan pucuk dicita ulam mendatang.

“Sebagai hos, saya akan mengendalikan saluran TV ini dengan gaya sendiri serta berusaha memberikan yang terbaik kepada penonton nanti.

“Maklumlah, dalam barisan artis baru dan lama yang disenaraikan, saya bertuah kerana terpilih untuk mengendalikan saluran TV baru ini,” katanya.

Azza berkata, dia juga tiada masalah bergandingan dengan Dynas dan Iskandar kerana masing-masing memiliki kelebihan tersendiri.

“Saya percaya mudah untuk saya mendapat keserasian dengan Dynas kerana dia pengacara berpengalaman.

“Begitu juga Iskandar kerana kami saling membantu dan saling melengkapi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2017 @ 1:43 AM