KUNG pada sidang media HyppTV.
KUNG pada sidang media HyppTV.
myMetro

Kuala Lumpur: Telekom Malaysia Bhd (TM) menerusi perkhidmatan Protokol Internet Televisyen (IPTV), HyppTV dalam rangka perbincangan dengan beberapa pihak bagi meningkatkan bilangan kandungan siarannya kepada pengguna pada tahun ini selepas memeterai dua perjanjian dengan dua syarikat kandungan hiburan, iFlix dan Viu masing-masing pada Disember 2015 dan Februaari lalu.

Dari segi jumlah pelanggan HyppTV, ia meningkat sejajar dengan pelanggan yang menggunakan perkhidmatan Unifi yang ditawarkan oleh TM yang mana setakat Mei lalu, ia mencatatkan lebih 895,000 pelanggan.

Timbalan Presiden Eksekutif Media Baru TM, Jeremy Kung berkata, ketika ini terdapat sekitar sembilan jenama kandungan televisyen dalam proses perbincangan dengan pihaknya.

Beliau berkata, ia meliputi pelbagai segmen hiburan antaranya filem, kanak-kanak, agensi berita antarabangsa, drama Melayu tempatan, drama Korea dan filem antarabangsa.

“Kita akan terus melabur dalam usaha meningkatkan lagi jumlah kandungan HyppTV memandangkan ia menjadi perkara penting bagi pelanggan menikmati perkhidmatan yang disediakan kami.

“Dalam masa sama, kita juga sentiasa mencari idea baru untuk menjadikan tayangan dari aplikasi iFlix dan Viu boleh diakses terus menerusi siaran di dalam HyppTV,” katanya pada taklimat media di sini, semalam.

Sempena sambutan hari raya ini, HyppTV akan menyediakan tayangan percuma bagi saluran utama iaitu HyppSensasi HD, Sony Max dan TVN HD kepada semua pelangganya pada 1 hingga 15 Julai ini.

Jeremy berkata, dengan menawarkan saluran percuma itu kepada pelanggannya mereka dapat menikmati pelbagai tayangan seperti Mr secret Admirer, Spylah Sangat, Dapur Dara serta tayangan Korea dan Bollywood semasa cuti perayaan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2016 @ 5:09 AM