ORANG kuat Rockers pada majlis pelancaran.
ORANG kuat Rockers pada majlis pelancaran.
NORMAN dan Jeremy pada majlis pelancaran program realiti Rockers.
NORMAN dan Jeremy pada majlis pelancaran program realiti Rockers.
Syanty Octavia Amry


Kemunculan banyak program realiti televisyen memberi idea kepada KRU Studios melancarkan program Rockers.

Bekerjasama dengan Telekom Malaysia Berhad (TM) melalui HyppTV, program realiti TV itu bakal bersiaran di saluran 116 Hypp TV.

Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios Sdn Bhd, Norman Abdul Halim berkata, berdasarkan kajian rock adalah genre paling, popular di Malaysia.

“Kami amat teruja menjadi sebahagian produksi Rockers dalam usaha mencari bakat rock baru untuk diketengahkan bukan saja di Malaysia malah ke seluruh rantau.

“Terima kasih kepada TM dan HyppTV kerana yakin dengan projek ini dan memberi kepercayaan kepada KRU Studios menerbitkan program ini.

“Orang ramai bersiap sedialah untuk hiburan rock terbaik yang pastinya berbeza daripada rancangan realiti TV sedia ada,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif New Media TM, Jeremy Kung berkata, Rockers adalah pembabitan pertama TM dalam menerbitkan program realiti TV.

“Ia membuktikan komitmen berterusan kami untuk menawarkan kepada penonton bukan saja hiburan bertaraf antarabangsa dan program sukan terbaik tetapi juga rancangan berkualiti tinggi termasuk program realiti, telefilem dan drama bersiri yang boleh didapati secara eksklusif di HyppSensasi, saluran hiburan tempatan pertama milik HyppTV.

“Rockers bukan hanya menyajikan muzik, malah turut memaparkan drama dan suka duka perjalanan peserta dalam usaha menjadi bintang rock terbaik negara.

“Kami percaya genre rock punya tarikan tersendiri dan yakin ia pasti menarik perhatian golongan muda dan juga yang ‘berjiwa muda’ untuk menonton episod diari harian dan konsert mingguan yang disiarkan,” katanya.

Pemenang Rockers akan memenangi wang tunai RM50,000 dan kontrak rakaman bersama KRU Music serta berpeluang merakamkan single di Los Angeles.

Pendaftaran sudah dibuka dan peserta yang layak bertanding mestilah berusia antara 18 hingga 28 tahun serta boleh menyanyikan lagu bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia dengan baik.

Peserta dikehendaki menghantar klip demo nyanyian terbaik dalam format audio, video atau link YouTube bersama maklumat lengkap ke [email protected] sebelum 30 September ini.

Untuk maklumat lanjut layari laman web rasmi di www.rockers.com.my dan laman sosial media ‘RockersSensasi’ - Facebook, Twitter dan Instagram.

Episod pertama diari mingguan Rockers akan menemui penonton bermula 16 November depan setiap hari Isnin hingga Jumaat pada jam 8.30 malam. Konsert mingguan akan disiarkan pada 22 November, setiap hari Ahad jam 8.30 malam di HyppSensasi dan aplikasi mudah alih HyppTV Everywhere.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2015 @ 9:44 AM