KUNG (kiri) dan Thrane pada majlis pelancaran HyppTV Everywhere.
KUNG (kiri) dan Thrane pada majlis pelancaran HyppTV Everywhere.
Oleh Wan Nur Ameera Meor Rozman

Petaling Jaya: DiGi Telecommunications Sdn Bhd (DiGi) menjangkakan pertumbuhan positif untuk tahun ini menerusi pelancaran perkhidmatan aplikasi mudah alih HyppTV melalui kerjasama dengan Telekom Malaysia Berhad (TM) bagi memberi kandungan hiburan menarik kepada pelanggan.

Ketua Pegawai Pemasarannya, Christian Thrane berkata, tahun lalu penggunaan telefon mudah alih dalam kalangan pelanggan DiGi melebihi 11 juta dengan peningkatan sebanyak 11.2 peratus daripada 38.1 peratus kepada 49.3 peratus.

“Kami turut menyaksikan perkembangan yang baik dalam segmen penggunaan Internet di mana ia meningkat sebanyak 31 peratus dari tahun ke tahun. Kandungan hiburan menjadi faktor utama yang mendorong jumlah pengguna melayari Internet menerusi telefon pintar meningkat.

“Bermula hari ini sehingga 30 Jun 2015, pelanggan DiGi dengan pelan mudah alih sedia ada tidak akan dikenakan sebarang caj data untuk menonton saluran HyppTV yang disediakan,” katanya pada majlis pelancaran ‘HyppTV Everywhere’ di sini, semalam.

Antara saluran yang bakal dinikmati pelanggan DiGi ialah Channel NewsAsia, Euronews, Al Jazeera, FOX Football Channel HD, Discovery Kids dan Warner TV.

Setakat ini, perkhidmatan usahasama sulungnya dengan TM itu menawarkan lima pakej istimewa serendah RM10 sebulan termasuk pakej hiburan, pakej kanak-kanak, pakej naga, pakej sensasi dan pakej sukan yang membolehkan pelanggan menikmati HyppTV dengan sambungan jalur lebar berkelajuan tinggi 2Mbps.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif, New Media TM, Jeremy Kung berkata, pihaknya optimis untuk terus memperluaskan penawaran perkhidmatan serta berharap kerjasama terbaru itu mampu mengukuhkan matlamat pihaknya untuk menjadi peneraju perkhidmatan IPTV di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 9:21 AM