Oleh Azizan Hashim

Ipoh: Seramai 22 atlet Perak yang menyumbangkan pingat kepada kontinjen negara ketika temasya Sukan SEA 2015 di Singapura menerima ‘duit raya’ daripada kerajaan negeri, baru-baru ini.

Mereka menerima ganjaran itu daripada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika diraikan pada majlis sambutan Aidilfitri anjuran Jabatan Belia dan Sukan (JBS) dengan kerjasama MSN Perak.

Pemain bowling wanita utama negara Sin Li Jane menjadi penerima terbanyak skim insentif Sukan SEA 2015 pada majlis penyampaian insentif Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak itu.

Li Jane meraih RM4,000 berikutan sumbangan dua emas melalui acara beregu wanita dan berpasukan.

Penerjun, Leong Mun Yee dan Cheong Jun Hong serta atlet olahraga, Muhammad Hakimi Ismail masing-masing menerima RM3,000 berikutan kejayaan mengutip emas.

Mun Yee cemerlang dalam acara 10meter platform manakala Jun Hong acara 3m papan anjal. Hakimi pula muncul juara lompat kijang.

Rakan sepasukan Jane, Syaidatul Afifah Badrul Amin pula menerima RM2,000 berikutan kejayaan mengutip emas acara berpasukan dan gangsa individu serta beregu wanita.

Turut menerima insentif pelayar, Nor Nabila Natasya Mohd Nazri yang menyumbang emas acara optimis berpasukan dan gangsa optimis individu.

Di bawah skim insentif sukan, Perak memberi RM3,000, RM2,000 dan RM1,000 untuk pingat emas, perak dan gangsa individu manakala kategori berpasukan sebanyak RM1,000, RM700 dan RM500.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 9:04 AM