AZREEN Nabila (kiri) turut beraksi di Hanoi.
AZREEN Nabila (kiri) turut beraksi di Hanoi.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Insentif Skim Hadiah Kemenangan (Shake) bakal menanti atlet Terengganu yang menghadiahkan pingat buat negara di pentas Sukan Sea Vietnam bermula 12 hingga 23 Mei depan.

Pengarah MSNT, Ahmad Shahrizal Yahaya berkata, selain itu, setiap atlet Terengganu yang menyertai temasya terbesar Sukan Asia Tenggara itu juga turut layak menerima insentif Skim Wakil Negara (Swara).

Beliau berkata, insentif daripada kerajaan negeri melalui MSNT itu sebagai suntikan semangat dan galakan kepada atlet untuk berjuang dan memperagakan aksi terbaik dalam kejohanan itu.

"Semua atlet Terengganu yang terpilih menggalas tugas negara bakal menerima insentif Swara sebanyak RM1,000 bagi setiap seorang. Sekiranya atlet berjaya membawa pulang emas acara individu, mereka bakal mendapat insentif sebanyak RM4,000 manakala RM2,500 acara berpasukan, perak RM3,000 acara individu dan RM2,000 berpasukan manakala pingat gangsa RM2,000 bagi individu dan RM1,500 berpasukan.

"Kita meletakkan harapan tinggi dengan insentif ini, para atlet mampu mempamerkan semangat juang tinggi sekali gus mampu membawa pulang pingat buat negara," katanya ketika dihubungi hari ini.

Berdasarkan rekod, seramai 46 atlet atau 7.5 peratus membabitkan 31 atlet lelaki dan 15 wanita daripada keseluruhan 612 atlet negara yang didaftarkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) ke temasya Sukan Sea itu terdiri daripada atlet dari Terengganu yang melibatkan 18 jenis acara sukan.

Antara atlet Terengganu yang bakal beraksi dalam temasya itu termasuk srikandi pencat silat negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir, Azreen Nabila Alias (olahraga) dan Alia Sazana Azahari (menembak).

Turut tersenarai Wan Muhammad Arif Shaharuddin Wan Junaidi (badminton), Mohd Hariff Saleh (berbasikal), Nuramalia Haneesha Mazlan (memanah), Mohammad Akiq Akimi Che Mohd Pakri (e-sport) dan pelumba basikal kelab profesional Jerman yang berpangkalan di Sepanyol, Siti Nur Alia Mansor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2022 @ 6:18 PM