NORZA umumkan pemberian insentif kepada barisan pemain badminton di Sukan Sea dan Komanwel. -FOTO Aswadi Alias
NORZA umumkan pemberian insentif kepada barisan pemain badminton di Sukan Sea dan Komanwel. -FOTO Aswadi Alias
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Barisan pemain badminton yang membawa pulang pingat di Sukan Sea Hanoi dan temasya Komanwel Birmingham baru-baru ini pastinya tersenyum gembira apabila mereka menerima 'durian runtuh' sebanyak RM245,000 daripada Persatuan Badminton Malaysia(BAM).

Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, tempias pemberian bonus itu turut membabitkan barisan kejurulatihan selepas menjadi antara tunjang barisan badminton negara memenangi emas dalam acara berpasukan di Komanwel Birmingham.

Katanya, pasangan wanita M Thinaah dan Pearly Tan antara yang paling beruntung kerana memperoleh RM50,000 selepas menggenggam emas dalam acara beregu di Komanwel Birmingham selain masing-masing turut menerima tambahan RM10,000 untuk acara berpasukan.

"Program insentif ini untuk pemenang emas di Sukan Sea dan pemenang pingat di temasya Komanwel.

"Kami mahu meraikan kejayaan diraih di Hanoi yang meraih emas dan juga pemain di Birmingham. Di Hanoi, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei meraih gelaran terbesar mereka dengan memenangi emas selepas menewaskan rakan senegara.

"Di Birmingham, saya gembira pasukan negara yang disertai gabungan pemain berpengalaman dan muda berjaya meraih semula emas dalam acara berpasukan campuran. BAM menghargai usaha gigih dan pengorbanan dilakukan pasukan. Pemain sudah meletakkan usaha terbaik mereka untuk membanggakan dan kejayaan Jalur Gemilang," katanya, selepas majlis penyerahan insentif dan juga Mesyuarat Ahli Lembaga BAM, hari ini.

Antara yang menerima durian runtuh itu adalah pemain perseorangan lelaki kebangsaan, Ng Tze Yong yang meraih perak di Birmingham sekali gus memperoleh RM10,000 manakala beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang meraih gangsa bersama Tan Kian Meng-Lai Pei Jing masing-masing meraih RM7,500.

Pasangan emas di Sukan Sea Vietnam dalam acara beregu campuran, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei meraih RM30,000 selepas menewaskan rakan senegara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See 15-21, 21-19, 21-13 di pentas final.

Untuk rekod, sukan badminton sudah menyumbang 69 pingat secara keseluruhan di Sukan Komanwel, iaitu 31 emas, 22 perak dan enam gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 2:54 PM