RAE (kanan) cuba mewarnakan cantingan batik.
RAE (kanan) cuba mewarnakan cantingan batik.
Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Meskipun berpeluang merangkul gelaran dunia Kejohanan Superbike Dunia (WSBK) di Litar Antarabangsa Sepang hujung minggu ini, pelumba Kawasaki Racing Team Jonathan Rea menganggap sasaran itu tidak begitu realistik.

Bagi pelumba British itu, agak sukar untuknya merangkul gelaran dunia dengan mengambil kira seteru utama yang juga rakan sepasukan Tom Sykes pastinya turut berhajat menyekatnya.

“Jika saya memenangi kedua-dua perlumbaan di Sepang, sebenarnya masih sukar untuk memenangi kejuaraan dunia.

“Saya perlu meraih lebih 25 mata berbanding rakan sepasukan. Apapun dalam perlumbaan apa saja boleh berlaku,” katanya selepas mengadakan lawatan bersama beberapa pelumba lain di Kompleks Kraf semalam.

Jelas Rea, dia tidak mahu terlalu memikirkan soal untuk memenangi gelaran dunia, sebaliknya hanya mahu fokus pada kedua-dua perlumbaan, Ahad ini.

“Sudah tentu saya ada memikirkan mengenai kejuaraan dunia tapi ia tidak begitu penting ketika ini. Secara jujur, saya berasakan tidak begitu realistik untuk memenanginya (kejuaraan dunia) di sini.

Mengulas lanjut mengenai perlumbaan Ahad ini, Rea berkata, dia mengharapkan cuaca baik kerana lebih selesa beraksi di litar kering.

“Kami perlu bersedia dalam apa juga keadaan cuaca. Tapi saya lebih suka berlumba di litar kering kerana lebih seronok dan selamat berbanding litar basah,” katanya.

Ketika ini, Rea sudah mengumpul 407 mata, jauh mengatasi rakan sepasukan yang juga juara dunia 2013, Sykes dengan 282.

Sekiranya gagal merangkul gelaran dunia di Sepang, peluang masih terbuka luas untuk Rea memenuhi impiannya itu pada baki tiga perlumbaan iaitu di Sepanyol, Perancis serta Qatar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2015 @ 9:24 AM