BAGNAIA dan Jack Miller  bergambar bersama peminat  di Ducati Petaling Jaya, hari ini. FOTO Bernama
BAGNAIA dan Jack Miller bergambar bersama peminat di Ducati Petaling Jaya, hari ini. FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pelumba Ducati, Francesco Bagnaia akan memanfaatkan segala peluang yang ada bagi membolehkannya dinobatkan selaku juara dunia pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia, Ahad ini.

Bagnaia bagaimanapun mengakui ia bukan tugas yang mudah, lebih-lebih lagi apabila berdepan cabaran daripada pesaing terdekat dari Yamaha, Fabio Quartararo yang juga juara bertahan MotoGP.

Ketika berbaki dua perlumbaan lagi, Bagnaia kini memimpin kedudukan pelumba MotoGP dengan mengumpul 233 mata, 14 mata mengatasi Quartararo di tempat kedua.

Pelumba Itali berusia 25 tahun itu boleh merangkul gelaran juara dunia, Ahad ini jika dia menang di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Quartararo menduduki tempat keempat atau lebih rendah.

"Setakat ini kami boleh berbangga dengan apa yang sudah kami capai ketika berbaki dua perlumbaan. Ia bukan mudah kerana Fabio sentiasa kompetitif.

"Jadi adalah amat penting untuk terus memahami situasi semasa. Jika ada peluang (mengesahkan kejuaraan dunia), kami akan berusaha tetapi sejujurnya saya tiada tekanan," katanya yang muncul naib juara dunia tahun lalu.

Bagnaia yang juga juara dunia Moto2 pada 2018 berkata, selain jentera, faktor cuaca juga memainkan peranan utama pada perlumbaan Ahad ini.

"Cuaca di sini sangat panas dan kami sedang berusaha menyesuaikan diri dengannya. Sudah pasti kami mengharapkan perlumbaan yang baik dan saya lebih suka berlumba di litar kering.

"Sepang adalah antara litar kegemaran saya. Banyak kenangan manis saya di sini dan sudah tentu situasinya sekarang berbeza berbanding ketika saya berlumba di sini sebelum ini," katanya.

Setakat ini Bagnaia sudah memenangi enam perlumbaan serta menaiki podium sebanyak sembilan kali dengan kali terakhir di GP Australia minggu lalu yang menyaksikannya menduduki tempat ketiga.

Dia serta rakan sepasukan, Jack Miller menghadiri beberapa acara bersama peminat termasuk Champions Ride, Meet and Greet yang berlangsung hari ini.

Menerusi acara itu, Bagnaia serta Miller meluangkan masa menurunkan tandatangan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 2:47 PM