QUARTARARO (kiri) berbual dengan Bagnaia pada sidang media, hari ini. FOTO EPA
QUARTARARO (kiri) berbual dengan Bagnaia pada sidang media, hari ini. FOTO EPA
Saiful Affendy Sapran


Sepang: "Ia belum berakhir. Kami boleh melakukannya."

Demikian tekad pelumba Yamaha, Fabio Quartararo yang enggan berputus asa, sebaliknya mahu terus memberi saingan kepada pelumba Ducati, Francesco Bagnaia dalam perebutan kejuaraan dunia MotoGP.

Ketika berbaki dua perlumbaan lagi, Bagnaia kini memimpin kedudukan pelumba MotoGP dengan mengumpul 233 mata, 14 mata mengatasi juara bertahan, Quartararo di tempat kedua.

"Sekarang saya berada di kedudukan apabila saya tak perlu memikirkan apa-apa. Hanya perlu cuba sebaik yang mungkin dengan mentaliti berbeza.

"Saya dapat merasakan tiada apa-apa yang merugikan saya ketika ini. Kami akan berusaha daripada pelbagai sudut termasuk melakukan perubahan pada jentera.

"Saya tetap percaya kami mampu melakukannya pada baki dua perlumbaan lagi," kata Quartararo pada sidang media, hari ini, menjelang perlumbaan GP Malaysia.

Bagnaia boleh merangkul gelaran juara dunia, Ahad ini jika dia menang di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Quartararo menduduki tempat keempat atau lebih rendah.

Setakat ini, Bagnaia sudah memenangi enam perlumbaan serta menaiki podium sebanyak sembilan kali dengan kali terakhir di GP Australia minggu lalu yang menyaksikannya menduduki tempat ketiga.

Quartararo pula tidak dapat mempertahankan kedudukan pendahulu buat kali pertama selepas gagal menamatkan perlumbaan di GP Australia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 7:19 PM