DAVIES (tengah)  menjulang trofi dimenangi.
DAVIES (tengah) menjulang trofi dimenangi.
Oleh Saiful Affendy Sapran

Sepang: Pelumba Aruba.it Racing Ducati Superbike Team, Chaz Davies menafikan hasrat pendahulu keseluruhan Jonathan Rea dari pasukan Kawasaki Racing Team untuk muncul juara dunia apabila memenangi Perlumbaan 2 Kejohanan Superbike Dunia (WSBK) di Litar Antarabang
sa Sepang (SIC), semalam.

Rea hanya perlu meraih 11 mata dan memastikan Davies tidak memenangi Perlumbaan 2 selepas dia mendominasi Perlumbaan 1.

Bagaimanapun, Davies berjaya menyekat Rea yang memberi saingan sengit, terutama di hujung perlumbaan Perlumbaan 2 yang menyaksikan kedua-dua pelumba itu bergesel di selekoh terakhir sebelum Davies meraih kemenangan dengan sekadar mendahului lebih sedikit berbanding Rea.

Kini peluang terbuka luas untuk Rea muncul juara dunia seandainya mampu mempamerkan aksi terbaik pada pusingan seterusnya di Jerez, Sepanyol, 20 September depan.

“Secara jujur saya hanya memberikan tumpuan dan beraksi konsisten sepanjang perlumbaan. Davies cukup pantas pada suku pusingan awal.

“Saya mempunyai satu peluang terbaik untuk muncul juara di sini, iaitu ketika di selekoh terakhir yang menyaksikan kami bergesel sesama sendiri sebelum Davies muncul pemenang.

“Apapun saya yakin kami dapat mencapai sasaran (juara dunia) pada pusingan seterusnya di Jerez,” katanya pada sidang media semalam.

Rea kini memimpin saingan dengan mengumpul 452 mata berbanding Davies 308 mata.

Pelumba wild card SIC Aprillia Racing Team Max Biaggi pula cemerlang menduduki podium ketiga pada Perlumbaan 1 sebelum terjatuh di selekoh pertama Perlumbaan 2 sekali gus gagal menamatkan perlumbaan.

Sementara itu, pelumba Moto3 negara Zulfahmi Khairuddin menerima satu lagi berita positif apabila JPMoto Racing, pasukan yang ketika ini beraksi di Moto2, menyatakan kesediaan untuk mendapatkannya bagi mengharungi musim depan.

Namun pengerusi pasukan dari Malaysia itu, JP Chin berkata, masih belum ada kata putus sepenuhnya untuk menggunakan khidmat pelumba berusia 23 tahun itu.

“Memang kami wujudkan pasukan ini untuk mempomosikan pelumba dari Malaysia. Masa mula-mula dulu kami menggunakan khidmat Zaqwan Zaidi tetapi ia tidak berpanjangan. Sebab itu kami guna alternatif lain dengan mendapatkan khidmat pelumba Asia.

“Kami tetap dengan pendirian untuk mendapatkan khidmat pelumba tempatan. Setakat ini, Zulfahmii sememangnya adalah seorang pelumba yang berpotensi.

“Tetapi dalam saingan Moto2, adakah dia mampu mempamerkan prestasi yang baik, kita masih tidak tahu.

“Kalau hendak ambil dia, kami perlu melakukan ujian ke atasnya. Kami sudah memberi peluang kepadanya untuk menguji jentera di Barcelona pada Jun tetapi masa yang dicatatkannya agak perlahan sedikit,” katanya.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali berkata, khidmat Zulfahmi akan diteruskan pada baki musim ini bersama pasukan SIC Racing Team, namun pada masa sama beliau menegaskan tiada lagi peluang diberikan kepada pelumba negara itu musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2015 @ 8:39 AM