Sepang: Litar basah ternyata memberi tuah buat pelumba Honda Worldsuperbike Team, Nicky Hayden (gambar, tengah) untuk muncul juara perlumbaan kedua Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semalam.

Kejayaan itu membantu Hayden menamatkan kemarau kemenangan apabila kali terakhir dia berjaya menjuarai perlumbaan dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia, MotoGP di Amerika Syarikat pada 2006.

Ia juga kejuaraan pertamanya dalam saingan WSBK musim ini dan kali pertama berjaya menakluk SIC tatkala pencapaian terbaiknya di sini hanya menduduki tempat keempat di perlumbaan MotoGP.

Hayden melintasi garisan penamat dengan mencatat masa 37 minit 04.047 saat, meninggalkan David Giugliano (Aruba.it Racing-Ducati) di tempat kedua manakala pendahulu keseluruhan Jonathan Rea (Kawasaki Racing Team) hanya di tempat ketiga.

Pelumba yang terkenal dengan nama gelaran ‘Kentucky Kid’ itu mengakui amat gembira kerana berjaya memecahkan dominasi pelumba dari Britain, Rea, Tom Sykes (Kawasaki Racing Team) dan Chaz Davies (Aruba.it Racing-Ducati) yang sentiasa bergilir muncul juara perlumbaan pertama dan kedua sejak pusingan pertama lagi.

“Saya berasa gembira dapat memenangi perlumbaan hari ini (semalam) terima kasih kepada pasukan kerana menyiapkan jentera dengan baik sekali. Sejak awal perlumbaan saya sedar mempunyai peluang untuk muncul juara,” katanya.

Jelasnya, sejak di pusingan pertama lagi dia sudah bekerja keras untuk cuba berada di kelompok depan walaupun memulakan perlumbaan di petak keempat.

“Saya cuba menjarakkan kedudukan selepas mendahului perlumbaan dan saya tidak fikir mengenai tayar (basah) yang digunakan walaupun trek sudah mulai kering. Apa pun semuanya berlangsung dengan sempurna.”

Rea masih unggul mendahului kedudukan keseluruhan pelumba dengan mengumpul 257 mata, diikuti Davies 215 mata dan Sykes di tempat ketiga 187 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2016 @ 8:55 AM