Ferzalfie Fauzi


Sepang: Bermula di petak utama ternyata banyak membantu pelumba Kawasaki Racing Team Tom Sykes (gambar) untuk muncul juara Perlumbaan Satu Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) Pusingan 6 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semalam.

Pengubahsuaian yang dilakukan di SIC termasuk permukaan baru litar ternyata serasi dengan corak tunggangan pelumba kelahiran Britain itu apabila turut melakar rekod baru perlumbaan WSBK pada pusingan kedua dengan 2 minit 3.637 saat.

Sykes melintasi garisan penamat semalam dengan mencatat masa 33:30.487s, mengenepikan rakan sepasukan, Jonathan Rea yang ketinggalan 5.600s di belakang untuk tempat kedua.

Pelumba Aruba.it Racing-Ducati Chaz Davies melengkapkan penguasaan Britain di podium selepas menduduki tempat ketiga, ketinggalan 8.039s.

“Saya gembira dengan prestasi hari ini dan secara jujurnya sepanjang hujung minggu ini saya dapat rasakan kami semua satu pasukan berada dalam keadaan baik,” kata Sykes selepas perlumbaan semalam.

Jelasnya, keadaan jentera dan tayar semuanya berada dalam keadaan terbaik, begitu juga dengan maklum balas diberikan keseluruhan pasukannya.

“Saya harap boleh terus konsisten menjelang perlumbaan esok (hari ini) dan kami akan cuba melakukan pemeriksaan semula jika ada bahagian yang harus dipertingkatkan, tapi bagi saya sekarang ini semuanya berjalan lancar,” katanya.

Ini kemenangan kedua dicatatkan Sykes musim ini selepas kali pertama muncul juara dicatatkannya ketika berlumba di Pusingan 2 di Thailand.

Bagaimanapun, Rea masih lagi mengungguli kedudukan keseluruhan dengan 241 mata selepas muncul juara lima kali setakat ini. Mengekorinya di belakang Davies dengan 202 mata dan ketiga Sykes (179).

Perlumbaan Dua hari ini akan berlangsung pada jam 4 petang, selepas berakhirnya aksi Perlumbaan Satu dan Dua kategori Supersport.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2016 @ 5:04 AM