BAS yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan bomba
BAS yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan bomba
Nur Saliawati Salberi


Melaka: Seramai 24 penumpang sebuah bas ekspres terselamat selepas kenderaan itu terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 193.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh, tengah malam tadi.

Ketika kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, bas berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari Johor menghala ke Kuala Lumpur.

Difahamkan, kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu bas berkenaan yang berusia 30-an tidak sempat mengelak trelar dihadapannya lalu terlanggar bahagian belakang kenderaan terbabit.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bestari PBK II Abdul Razak Taat berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 12.19 sebuah jentera bomba dan EMRS bersama lima anggota termasuk seorang pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba dilokasi, kesemua penumpang sudah dibawa keluar dan dipindahkan ke bas gantian selain dimaklumkan mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Bagaimanapun pemandu bas yang cedera dibahagian kaki diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk dibawa ke Hospital Melaka bagi menerima rawatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2016 @ 8:58 AM