EZZAH lamar Altimet sebagai pengacara Sounds Of Muslims selepas melihat kemampuannya mengacara program Umrah Kita.
EZZAH lamar Altimet sebagai pengacara Sounds Of Muslims selepas melihat kemampuannya mengacara program Umrah Kita.
Oleh Nor Akmar Samudin


Kagum melihat gaya bersahaja Altimet mengendalikan program Umrah Kita bersama Noh dan Aziat di TV9 tahun lalu, Penerbit Eksekutif Sound Of Muslims Ezzah Aziz Fawzy melamar penyanyi itu untuk sebagai pengacara program itu.

Di sebalik kebolehannya menyanyikan lagu rap, Altimet juga mampu menjadi pengacara yang baik.

Sound of Muslims adalah dokumentari khas yang akan menemui penonton Sabtu ini jam 7 malam di TV9.

Program selama sejam jam itu akan membawa penonton mengenali masyarakat Islam di Vienna dan Salzburg, Austria. Seperti kita sedia maklum, Austria sinonim dengan karyawan muzik terkenal iaitu Strauss, Joseph Haydn dan Mozart.

Menarik dan istimewanya negara itu ialah mereka mengiktiraf Islam sebagai agama kedua selepas Kristian.

Kunjungan selama sembilan hari bersama kru penerbitan ke negara itu sebelum Ramadan lalu banyak memberi inspirasi kepada Altimet bukan saja dari sudut muzik, tetapi juga hal lain.

Antara amat dikagumi Altimet sepanjang kunjungan itu ialah sikap masyarakat di negara itu yang terlalu mencintai ilmu tanpa mengira peringkat umur dan tanpa rasa malu.

“Sebahagian daripada kita di sini apabila sudah mencapai peringkat umur tertentu, kita rasakan tidak sesuai lagi untuk menyambung pelajaran.

“Namun ia berbeza dengan masyarakat Austria kerana sampai pencen pun mereka akan terus belajar. Itu antara per­kara paling menyeronokkan bagi saya sepanjang menjalankan tugasan ini,” katanya.

Altimet berkata, pengalaman diperoleh sepanjang menjadi pengacara Umrah Kita membuatkan dia tidak berdepan sebarang masalah untuk bercakap di depan kamera.

“Lagipun, pihak TV9 banyak memberikan input dan turut menyediakan skrip, jadi tugas saya lebih mudah. Bersesuaian dengan konsep program ini yang berkisar mengenai Islam, corak penyampaian saya juga disampaikan mengikut kesesuaian program,” katanya yang sempat membuat persembahan secara suka-suka bersama seorang pemuzik tempatan di sana.

Dalam program itu juga, Altimet membawa penonton bertemu pensyarah muzik, Gernot Galib Stanfel yang dibesarkan dalam keluarga Katolik tetapi memeluk Islam pada usia 22 tahun selepas mengkaji pelbagai agama.

Menurut Ezzah, dia menemui Gernot menerusi YouTube dan dari situ mereka mengatur temu janji dengan pensyarah muzik itu yang turut menjadikan muzik sebagai terapi kesihatan.

“Bunyi yang kami maksudkan bukan terhad kepada lagu saja, tetapi juga azan dan mengaji al-Quran. Apa yang mengagumkan terapi muzik diusahakan Gernot itu memang berkesan untuk menyembuhkan penyakit.

“Selain itu Gernot turut menyatakan keinginannya untuk memeluk Islam selepas mengkaji pelbagai agama dan kemudian dia menemui jawapan Islam adalah agama terbaik,” katanya.

Ezzah berkata, sepanjang sembilan hari menjalani penggambaran di sana, mereka tidak melalui sebarang kesukaran kerana kerajaan Austria memberi kerjasama sangat baik sekali gus memudahkan proses penggambaran.

Selain Gernot, Sounds Of Muslims juga memperkenalkan seorang lagi masyarakat Islam negara itu, Carla Amina Baghajati iaitu seorang pendidik dan guru pelatih serta pendakwah Esma Sacirovic.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2015 @ 5:01 AM