DARI kiri, Dr Danial, Ahmad Noor dan Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9 Nurlisia Mohd Nadzri.
DARI kiri, Dr Danial, Ahmad Noor dan Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9 Nurlisia Mohd Nadzri.
Nor Akmar Samudin


Selama sembilan tahun bersiaran, musim lalu (2016) Halaqah ditonton 6.4 juta orang dan program berkonsepkan perbincangan itu terus mendapat sambutan hangat penonton.

Sehubungan itu, pada 8 Oktober ini, julung kali Halaqah membuka pintunya untuk masyarakat umum menerusi satu program khas berjudul Pentas Halaqah yang bersiaran secara langsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, jam 2 petang.

Ia akan diacarakan secara langsung oleh Ahmad Noor Sulaiman bersama Bintang Ilmuwan, Datuk Dr Danial Zainal Abidin. Pentas Halaqah hanya membuka pintunya untuk 500 orang penonton.

Selain itu, Pentas Halaqah akan dimeriahkan dengan persembahan selingan daripada artis tempatan iaitu Khai Bahar, Filsuf (Ahli Fiqir) dan Adib Muhibbain.

Menurut Ahmad Noor yang juga penerbit program itu, perbincangan Pentas Halaqah dibahagikan kepada dua topik iaitu Bila Dajal Bertanya dan Kuatkah Israel?

“Topik Bila Dajal Bertanya akan membincangkan kisah yang berlaku lebih 1,400 tahun lalu. Pertemuan tanpa dirancang seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Tamim Ar Dari dengan makhluk yang paling ditakuti seluruh umat manusia yang akan muncul pada akhir zaman iaitu Dajal al Masih.

“Pertemuan itu terjadi saat kapal yang dinaiki Tamim rosak dan berlabuh di sebuah pulau. Pada pertemuan itu Dajal al Masih bertanyakan beberapa soalan kepada Tamim yang ketika itu seorang penganut Kristian.

“Jadi kita akan membincangkan soalan apakah yang ditanya Dajal al Masih kepada Tamim dan mengupas maksud pertanyaan Dajal secara terperinci serta apa kaitan pertanyaan Dajal itu dengan kehidupan kita hari ini,” katanya.

Menurut Ahmad Nor, topik Kuatkah Israel? pula akan membuktikan fakta seluruh umat manusia di dunia ini seolah-olah mengakui kehebatan dan kekuatan Israel.

“Dengan kemajuan dalam bidang ketenteraan, telekomunikasi, ekonomi, kesihatan, pendidikan, pertanian, teknologi maklumat sehingga kepada perisikan, Israel kekal kuat di dunia Arab. Israel dengan jumlah rakyat yang tidak sampai 10 juta berdiri megah di pentas dunia dan berjaya menundukkan ancaman dari negara Islam.

“Namun benarkah Israel begitu kuat dan sejauh manakah umat Islam memahami kelemahan Israel? Isu ini yang akan kita bincangkan nanti,” katanya.

Selain Ahmad Noor dan Dr Danial, mereka turut disertai seorang indikator iaitu Ustaz Ahmad Tirmzi Ali. Dr Danial akan berhujah berdasarkan soalan yang diajukan Ahmad Noor manakala Ustaz Ahmad Tirmzi mengukuhkan lagi hujahnya itu dengan bacaan al-Quran atau hadith yang sahih.

Dr Danial ilmuwan hebat

Mengenali latar Dr Danial, beliau memiliki ijazah perubatan moden dari Universiti Iskandariah, Mesir (1981) dan pernah mendalami agama dengan beberapa orang ulama di negara itu.

Kini beliau adalah Ahli Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy Malaysia Sdn Bhd dan pengurus serta pengamal perubatan di sebuah klinik swasta di Pulau Pinang.

Beliau pernah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang pada 2011 dan muncul sebagai Bintang Ilmuwan Halaqah 2016 hingga 2017 serta pernah mengendalikan program al-Quran pada 2012.

Kehebatan Dr Zainal tidak berhenti setakat itu, bahkan dia pernah mengarang 14 buku apabila lima daripadanya menjadi ‘bestseller’. Beliau juga menjadi kolumnis ruangan agama dalam majalah berkonsepkan Islam.

Antara buku karangannya, Islam The Misunderstood Religion, Bukti-Bukti Sains dan Sejarah Kerasulan Muhammad (bestseller), 7 Formula Individu Cemerlang (bestseller), Tip-Tip Cemerlang Daripada Quran (bestseller), Minda Muslim Super, Tuan Bertanya Dr Danial Menjawab, The Power of Al-Quran, Quran Saintifik, Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden serta Menjadi Ulul Albab.

Beliau yang dikenali sebagai penceramah yang mengaitkan sains dan al-Quran sering diundang berceramah di luar negara.

Mengulas ‘kekuatan’ dan pengaruh Halaqah dalam kalangan penonton, jelas Dr Danial, Halaqah terus berjaya kerana formatnya yang unik.

“Ia membincangkan topik dan isu keagamaan di samping mengukuhkan hujah dengan fakta sains serta ayat al-Quran dan hadis sahih. Lantaran itu, Halaqah berjaya menjadi program universal kerana setiap topik dan hujah yang dibincangkan mudah diterima penonton.

“Selain itu, berbeza dengan program bual bicara atau forum agama lain, penyampaian Halaqah lebih segar, tetapi padat dan bertema. Seperti tahun lalu, Halaqah 2016 membincangkan tema Kiamat, manakala Halaqah 2017 pula bertemakan Kehidupan Selepas Mati.

“Halaqah juga sentiasa membincangkan isu hangat atau isu semasa. Topik Kuatkah Israel? misalnya, isu ini sering menjadi tanda tanya masyarakat kerana kita tahu Israel satu kuasa besar yang menguasai hampir setiap sudut dunia. Namun sejauh manakah kekuatan mereka seperti yang dikhabarkan? Itu yang akan kita kupas serta apakah kelemahan mereka seperti yang tertulis di dalam al-Quran,” katanya.

Kepada mereka yang mahu menonton Halaqah secara langsung pada 8 Oktober ini, bayaran dikenakan RM50 seorang merangkumi tiket, kupon makan bernilai RM15, barangan eksklusif TV9 dan sesi beramah mesra bersama Ahmad Noor, Dr Danial dan Ustaz Ahmad Tirmzi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2017 @ 2:11 AM