ANWAR (kiri) bersama Mohd Raziff.
ANWAR (kiri) bersama Mohd Raziff.
Oleh Ramlah Zainal


Rancangan berkonsep pengembaraan popular, Jejak Rasul sudah masuk musim ke-21 sejak mula bersiaran di stesen TV3 pada 1995.

Menerusi musim baru yang bertemakan Saudara Dari Timur, program ini menampilkan kelainan apabila meninjau kehidupan generasi muda Muslim tempatan di Jepun, Taiwan dan Korea Selatan.

Bakal bersiaran sebanyak 12 episod, kali ini ia diperkenalkan sebagai Jejak Rasul As Salam.

Penerbit program, Mohd Raziff Zukafli berkata, pembaharuan yang diketengahkan diharap dapat menarik penonton muda sekali gus mengekalkan pengikut setia sedia ada.

“Fokus Jejak Rasul sebelum ini adalah umat Islam di Timur Tengah dan kali ini kami memaparkan masyarakat Islam di Jepun, Taiwan dan Korea Selatan pula.

“Umat Islam di tiga negara itu tidak sampai tiga peratus dari keseluruhan jumlah penduduknya. Kami berkampung selama 42 hari di tiga negara berkenaan bagi menjayakan penggambaran seperti yang dirancang.

“Hasil tinjauan kami mendapati generasi muda beragama Islam di sana sangat patuh dengan ajaran agama.

“Malah, mereka memeluk Islam bukan kerana keturunan sebaliknya faktor pendidikan, perkembangan dunia Islam, pengaruh media sosial dan kehadiran imigran Muslim yang menjadi pendorong mereka menerima hidayah,” katanya.

Mohd Raziff ditemui pada sesi fotografi bersama hos baru Jejak Rasul, Anwar Afiq yang berlangsung di Balai Berita, baru-baru ini.

Dia bagaimanapun mengakui, pihaknya berdepan cabaran besar merealisasikan musim baru itu.

“Sebelum penggambaran di luar negara, saya mengadakan perbincangan dengan penerbit senior dan pengacara sebelum ini iaitu Zainal Ariffin Ismail untuk mendapatkan pandangan pengisian dan pemilihan hos. Fokus topik kami kali ini adalah Muslim, wanita dan halal,” katanya.

“Sebagai penerbit baru, saya tidak boleh menukar secara drastik kandungan program kerana takut ia menjejaskan rating.

“Maklumlah, Jejak Rasul sudah ada pengikut tersendiri dan pastinya saya perlu berikan yang terbaik untuk menarik perhatian penonton,” katanya.

Ditanya mengenai pemilihan hos, Mohd Raziff berkata pihaknya mahu menampilkan wajah baru bagi menarik penonton muda.

“Daripada 25 peserta uji bakat yang dijalankan, kami pilih Anwar.

“Dia menepati kriteria pengacara yang kami cari iaitu memiliki asas agama yang cukup dan pandai mengaji Al-Quran.

“Lebih menarik, dia mengajar mengaji dan menjadi imam solat jumaat di masjid tiga negara itu dan ia akan dipaparkan dalam program ini,” katanya.

Anwar sedia terima kritikan

Selaku pendatang baru, Anwar menyifatkan dirinya sangat bertuah apabila mendapat kepercayan mengendalikan mengendalikan program Jejak Rasul As Salam.

Anwar atau nama sebenarnya, Muhammad Anwar Afiq, 26, berkata, peluang yang diberikan TV3 membuka ruang kepadanya berdakwah secara tidak langsung.

“Saya terima tawaran ini bukan untuk mencari glamor sebaliknya mahu berkongsi ilmu dengan penonton.

“Saya mengacara mengikut acuan sendiri kerana tidak mahu terikut-ikut gaya pengacara sebelum ini.

“Saya bersedia menerima kritikan membina daripada penonton dan akan berusaha memperbaiki segala kelemahan yang ada,” katanya.

Anwar mengakui tidak dapat menyembunyikan perasaan gementar apabila pertama kali beraksi depan kamera.

“Mujur penerbit dan kru belakang tabir banyak membantu saya sepanjang penggambaran di luar negara.

“Saya tidak dapat mengelak jika penonton membandingkan saya dengan pengacara terdahulu.

“Apapun, saya lebih suka melihat perkara itu dari sudut positif dan akan berusaha memperbaiki prestasi diri,” katanya.

Menyentuh perancangan selepas ini, lulusan Diploma Lanjutan Kejuruteraan Elektronik (Perubatan) dari Politeknik Shah Alam itu berkata, buat masa ini fokusnya hanyalah pada program Jejak Rasul As Salam.

“Andai ada peluang menjayakan program keagamaan lain selepas ini, saya sangat berbesar hati,” katanya.

Program Jejak Rasul As Salam-Saudara dari Timur akan bersiaran setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad pada jam 6.30 petang bermula esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2015 @ 12:16 PM