UYAINA (dua dari kiri) bersama (dari kiri) Fara, Neelofa dan Fouziah
UYAINA (dua dari kiri) bersama (dari kiri) Fara, Neelofa dan Fouziah
Nor Akmar Samudin


Program Nona terus menyajikan pengisian menarik Ramadan ini dengan memaparkan episod istimewa bertemakan Barakah dan Prihatin.

Sejak minggu pertama lagi, pengacaranya Uyaina Arshad membawa penonton ke Betong, Thailand.

Episod Barakah Betong membawa penonton menghayati dan berkongsi keberkatan Ramadan dengan kerja amal kebajikan bersama-sama usahawan Datuk Sharifah Shareen Al-Mashoor.

Penggambaran selama enam hari lima malam itu memaparkan dilema penduduk Islam di Betong yang daif dan terpinggir menyebabkan ramai di antara mereka tidak mampu meneruskan persekolahan kerana kos tinggi.

Prihatin dengan nasib mereka, Sharifah Shareen dan Uyaina berkongsi pengalaman dan keberkatan Ramadan bersama-sama penduduk di sana.

Menurut Penerbit Eksekutif Nona, Ezzah Abdul Aziz Fawzy, paparan itu diharap dapat menyuntik rasa kasih sesama insan dan memupuk ukhuwah.

“Pada minggu kedua Ramadan, Nona menampilkan bekas pengacara program ini iaitu Fara Fauzana, Neelofa dan Fouziah Gous bersama Uyaina melaksanakan Misi Beramal Prihatin sempena Ramadan.

“Mereka ke pusat bimbingan dan rumah kebajikan untuk membantu membersih, mengecat, memberi motivasi, berkongsi pengalaman dengan penghuni di situ.

“Pada minggu ketiga Ramadan, Uyaina bersama hos jemputan Dayah Bakar diberikan tugasan mencari kelengkapan raya. Mereka turut berkunjung ke Kolej Komuniti Bukit Beruang, Melaka untuk meninjau usaha dua wanita berniaga ketika Ramadan,” katanya.

Ujar Ezzah lagi, Uyaina dan Dayah juga singgah ke kediaman usahawan yang menjual makanan sejuk beku.

Episod khas menjelang Syawal pula Uyaina menghabiskan baki tiga hari terakhir Ramadan di kampung neneknya di Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan.

Nona merakamkan keindahan suasana kampung dan pengalaman Uyaina menyambut lebaran bersama keluarga. Turut dipaparkan kemeriahan malam tujuh likur dan pengalaman berjalan mengelilingi kampung sambil berkompang serta berqasidah untuk mengejutkan penduduk supaya bangun bersahur.

Menikmati keenakan ayam yang dimasak dalam buluh dan pulut yang dikukus dalam periuk kera sebagai hidangan pada Aidilfitri antara keunikan yang dipaparkan dalam episod istimewa Nona Raya siaran 17 Julai ini.

Segmen Bila Cik Nik Berhari Raya pula memaparkan kemeriahan tiga keluarga berbeza etnik iaitu Melanau ( Sarawak), Bajau (Sabah) dan Orang Asli (semenanjung) meraikan lebaran.

Jangan ketinggalan menyaksikan Nona bersama Uyaina setiap Ahad jam 2 petang di TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2016 @ 12:12 PM