Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Skuad Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mahu memburu kemenangan ketiga musim ini dan kenyataan itu harus diambil berat FELDA United FC ketika kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.

Selepas menamatkan 14 perlawanan, ATM berada di kelompok terbawah liga apabila sekadar meraih dua kemenangan.

Justeru, pemain The Gladiators dituntut supaya bangkit melakar kemenangan ke atas The Fighters malam ini dan penolong jurulatih Azhar Abdullah mahu pemain menggunakan peluang beraksi di laman sendiri bagi memastikan tiga mata dapat digenggam.

Katanya, walaupun lawan berada dalam kelompok lima terbaik, bukanlah sesuatu yang mustahil untuk ATM mencatat kemenangan.

“Saya akui FELDA United memiliki kekuatan tersendiri dan bukan mudah menewaskan mereka tetapi dalam bola sepak apapun boleh berlaku. Apa yang penting pemain perlu fokus sepanjang 90 minit permainan.

“Pemain tidak boleh leka dan melakukan kesilapan kerana boleh mengundang padah. Justeru, mereka perlu memastikan tugas diamanahkan dilaksana dengan baik bagi mengekang setiap gerakan lawan,” katanya.

Begitupun, Azhar mengakui keinginannya untuk menurunkan barisan terbaik sedikit terjejas selepas khidmat dua pemain import Mario Karlovic dan Obinna Nwaneri tidak dapat dimanfaatkan akibat penggantungan.

“Kita terpaksa melakukan rombakan kecil, tetapi kita sudah bersedia memastikan kekuatan pasukan kekal stabil untuk berdepan FELDA United FC, malam esok (malam ini).”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2015 @ 8:48 AM