Oleh Mohd Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Sebilangan besar pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) musim ini sudah boleh mula berkira-kira mengintai pasukan lain musim depan apabila difahamkan The Gladiators itu bakal menggunakan sepenuhnya kudrat pemain anggota pasukan beruniform itu.

Perkara itu disahkan sendiri Presiden Persatuan Bolasepak Angkatan Tentera Malaysia (PBATM) Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang percaya pendekatan baru itu lebih baik dan sesuai demi memberi peluang kepada anggota tentera untuk merasai bahang sebenar saingan Liga Perdana musim depan.

Antara nama besar bersama skuad ‘Manchester City’ Malaysia ini adalah bekas penyerang kebangsaan Hairuddin Omar, Abdul Shukur Jusoh, Norfazly Alias, K Rueben, Syed Adney Syed Hussein dan Mohd Affize Faisal Mamat selain empat lagi tonggak import terdiri daripada Jerry Palacios, Abdulafees Abdulsalam, Mario Karlovic dan Obinna Nwaneri.

“Mulai musim depan kami akan menggunakan sepenuhnya tenaga pemain anggota ATM dan proses peralihan itu sebenarnya sudah pun bermula secara berperingkat-peringkat musim ini.

“Menerusi pendekatan itu, secara tidak langsung kami dapat membantu FAM menambah bilangan pemain berbakat terutama daripada anggota kami yang turut memiliki kemampuan dan kemahiran setanding dengan pemain profesional,” katanya kepada Arena Metro, baru-baru ini.

Di samping itu, bekas naib juara Piala Malaysia musim 2012 itu juga akan menggunakan kepakaran jurulatih dikalangan anggotanya berbanding sebelum ini jurulatih luar bekas jurulatih kebangsaan B Sathianathan dengan dibantu bekas pemain Selangor era-90an Shahrin Majid.

“Ketika ini kami mempunyai 15 jurulatih berkelayakan untuk mengendalikan pasukan dengan dua daripadanya memiliki lesen kelas ‘A’.

“Mungkin musim depan kelompok jurulatih ini akan diberi tanggungjawab membimbing pasukan dalam saingan Liga Perdana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 7:54 AM