Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Bukan saja Johor Darul Ta’zim (Johor DT) namun Pahang dan FELDA United turut berpeluang mendominasi kancah Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Itu pandangan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Hairuddin Omar yang meramalkan saingan bermula bulan depan paling sengit bakal diharungi setiap pasukan bertanding.

“Tahun ini akan melakar sejarah baru bola sepak negara apabila empat pemain import dibenarkan beraksi serentak. Malah import yang hadir tidak boleh dinafikan berkualiti. Pahang, Johor DT dan FELDA United akan menjadi pilihan musim ini.

“Tiga pasukan ini memiliki pemain Harimau Malaya dengan import mereka turut membuktikan kemampuan musim lalu,” katanya yang juga kapten Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Johor DT muncul juara Liga Super musim lalu ketika Pahang meraih Piala FA dan Piala Malaysia manakala FELDA United muncul naib juara Liga Perdana, finalis Piala FA serta separuh akhir Piala Malaysia.

Bagaimanapun menurut Hairuddin, setiap pasukan yang bertanding tetap berpeluang melakar kejutan, cuma pilihan diberikan kepada tiga pasukan berkenaan.

“Kami sendiri (ATM) meletakkan sasaran untuk menjulang sekurang-kurangnya satu piala musim ini. Kami tidak akan mengalah dengan mudah terutamanya dengan kehadiran besar muka baru untuk menguatkan cabaran,” tambahnya.

The Gladiators kendalian B Sathianathan membawa masuk empat import baru, bekas penyerang Piala Dunia Honduras Jerry Palacios, Abdulafees Abdulsalam serta Obinna Nwaneri (Nigeria) selain Mario Karlovic (Australia) termasuk penyerang kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 January 2015 @ 5:06 AM