OBINNA (kanan) antara pemain dibawa masuk Dollah untuk perkasa pasukan Perlis.
OBINNA (kanan) antara pemain dibawa masuk Dollah untuk perkasa pasukan Perlis.
Oleh Rodly Fadly


Kuala Lumpur: Aura Dollah Salleh sebagai jurulatih ternyata masih belum pudar apabila berjaya memikat beberapa nama besar untuk mengikut jejaknya mengemudi cabaran Perlis dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Antaranya ialah dua pemain utama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Mohd Afif Amiruddin dan Mohamadou Sumareh serta dua import berpengalaman, Obinna Nwaneri dan Edward Junior Wilson.

Afif, 31, yang sudah lima musim menyarung jersi PDRM sejak 2010, terus terang mengaku salah satu punca utama dia menyertai Perlis adalah kerana kehadiran Dollah sebagai jurulatih pasukan berkenaan.

“Beliau (Dollah) banyak membentuk permainan saya semasa menjadi jurulatih PDRM. Malah, beliau jugalah yang memberi peluang untuk saya menyarung jersi pasukan kebangsaan.

“Walaupun kerjasama kami dalam pasukan negara berakhir dengan kekecewaan namun saya tetap menganggap beliau sebagai salah seorang jurulatih terbaik negara. Bagi saya Dollah mempunyai sentuhan emas yang mampu mengubah nasib sesebuah pasukan.

“Malah, saya menganggap beliau sebagai sifu saya dan ingin terus menuntut ilmu bersamanya. Sebab itu, apabila beliau mengajak saya menyertai Perlis, saya berasa sangat gembira untuk menerima tawaran itu.

“Apatah lagi bila saya tahu ramai pemain berpengalaman seperti Nwaneri, Sumareh dan Wilson turut menyertai pasukan ini. Kombinasi tiga import berkenaan akan menjadi tonggak di bahagian pertahanan, tengah dan serangan,” ujar Afif.

Ketiga-tiga pemain itu bukan nama asing dalam kancah bola sepak Malaysia.

Nwaneri pernah mewakili Kelantan selama tiga musim sebelum berpindah ke pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) musim lalu. Wilson pula mewakili FELDA United pada 2014 sebelum disisihkan pada awal musim 2015 sementara Sumareh bermain untuk PDRM sejak 2012.

“Di samping itu, kehadiran beberapa rakan daripada PDRM seperti V Thirumuragan, Alafi Mahmud, Saiful Amar Sudar dan Fauzi Majid turut membuatkan saya selesa bersama Perlis.

“Ia juga memberi keyakinan kepada saya bahawa Perlis mampu memberi cabaran dalam Liga Perdana musim ini. Malah, saya sangat teruja untuk bersama-sama Dollah membantu Perlis kembali menjadi pencabar utama seperti yang kami lakukan semasa bersama PDRM.

“Sasaran kami untuk layak bertanding dalam Piala Malaysia dan naik ke Liga Super pada tahun depan. Jika muncul juara Liga Perdana, Ia adalah bonus,” kata Afif.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2016 @ 5:26 AM