Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Skuad Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang masih berada dalam kelompok terbawah carta Liga Super mengharapkan berlaku perubahan positif dari segi persembahan sepanjang baki lapan perlawanan yang bakal diharungi bermula dengan menentang Terengganu di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 1 Ogos depan.

Jurulatih ATM Azhar Abdullah berkata, pihaknya sudah memanfaatkan tempoh rehat dua minggu bagi memperbaiki setiap kelemahan dalam pasukan dan percaya pemain mampu mempamerkan persembahan lebih bertenaga sebaik saingan bersambung.

Menurutnya, pihaknya berharap skuad bimbingannya tidak menjadi pasukan belasahan selepas tewas kepada FELDA United FC 0-4 pada perlawanan terakhir sebelum rehat, Ramadan lalu.

“Kekalahan kepada FELDA United sememangnya memberi pengajaran bermakna kepada pasukan dan menuntut pemain lebih berwaspada serta perlu menggandakan usaha bagi memastikan kemenangan dicapai pada perlawanan akan datang.

“Tempoh rehat sempena Aidilfitri memberi peluang kepada kami mengenal pasti kelemahan dan membina semula kekuatan untuk mengharungi saingan selepas ini yang dijangka lebih sengit.

“Saya mengharapkan ada sinar buat pasukan untuk mencatat kemenangan dan seterusnya keluar daripada zon bahaya,” katanya.

Azhar mengakui kekuatan skuad The Gladiators amat terbatas berbanding pencabar lain kerana tenaga import sedia ada tidak banyak membantu dalam menggerakkan jentera pasukan terutama di barisan serangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2015 @ 11:27 AM