Oleh Asrol Awang


Kuantan: Jurulatih Pahang Zainal Abidin Hassan (gambar, kanan) mengakui kecewa dengan persembahan anak buahnya apabila terikat 2-2 menentang FELDA United FC, malam kelmarin.

Lebih menyedihkan keputusan itu juga menyebabkan Pahang kembali berada di belakang Johor Darul Ta’zim (DT) sekali gus impian muncul juara kini tergugat.

Beliau berkata, sepatutnya pemain mengambil peluang sepenuhnya beraksi di halaman sendiri tetapi gagal melakukannya mencatat kemenangan.

Katanya, kegagalan jentera serangan merebut peluang terhidang menyebabkan tiga mata terlepas hingga memberi kesan dalam kedudukan liga.

“Pemain jelas gagal menyempurnakan banyak peluang sebaliknya memberi gol mudah kepada FELDA United walaupun pada satu ketika mendahului 1-0

“Apapun saya tidak mahu menyalahkan pemain kerana mereka sudah melakukan yang terbaik buat pasukan dan berusaha bersungguh-sungguh mencari gol kemenangan tetapi gagal berbuat demikian.

“Saya harap pemain bekerja keras pada perlawanan terakhir bertemu Terengganu, Sabtu ini (malam esok),” katanya.

Pada perlawanan kelmarin, Pahang yang memerlukan kemenangan untuk mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu liga gagal berbuat demikian sebaliknya Johor DT kembali merampas takhta apabila menewaskan Perak 4-1.

Johor DT kini mengutip 46 mata berbanding Pahang, 44.

Justeru, Zainal mahu pemainnya beraksi mati-matian berdepan Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2015 @ 9:50 AM