Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Skuad Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka berdepan laluan sukar untuk menjinakkan Terengganu pada pertembungan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.

Semuanya gara-gara The Gladiators tidak dapat menurunkan kesebelasan terbaik apabila beberapa pemain utama terpaksa direhatkan akibat penggantungan selain masalah kecederaan.

Jurulatih ATM Azhar Abdullah mengesahkan beliau berdepan tugas sukar menyenaraikan barisan terbaik apabila khidmat tonggak utama, Obinna Nwaneri dan Norfazly Alias tidak dapat dimanfaatkan kerana masalah kecergasan dan penggantungan.

Menurutnya, situasi itu membuatkan kekuatan pasukan sedikit terjejas dan berhasrat menggunakan khidmat beberapa pemain Piala Presiden bagi membantu menguatkan jentera pasukan ketika berdepan Terengganu.

“Memang kita berhadapan tugas berat untuk menurunkan barisan terbaik. Saya terpaksa melakukan rombakan bagi memastikan pasukan tidak menjadi skuad belasahan selepas kita tewas besar 1-5 kepada Kelantan di Kota Bharu, Selasa lalu.

“Kemungkinan saya akan mendapatkan khidmat beberapa pemain Piala Presiden malah kapten Hairuddin Omar yang selama ini beraksi di posisi serangan mungkin diminta membantu memperkukuhkan bahagian pertahanan.

“Manakala Abdulafees Abdulsalam dan Jerry Palacios pula dipertaruhkan untuk mengemudi jentera serangan,” katanya.

Beliau berharap kekecewaan di Kota Bharu tidak berulang dan berharap semangat anak buahnya terus membara.

Azhar berkata, walaupun mahukan kemenangan kerana memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri, pihaknya terpaksa akur dan berpuas hati andai satu mata dapat dikutip malam esok.

“Saya akui, pemain mempunyai tugas berat untuk mencatat kemenangan walaupun beraksi di gelanggang sendiri disebabkan kekuatan terbatas, tetapi berharap mereka fokus dan memberikan persembahan terbaik.

“Segala kemungkinan boleh berlaku dalam bola sepak dan dengan sedikit nasib, kita boleh menang ke atas Terengganu. Apa yang penting adalah komitmen pemain serta kesungguhan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2015 @ 5:05 AM