AFP

Temuco, Chile: Lebih 200 minit beraksi dan tanpa sebarang gol. Musim hambar Radamel Falcao bersama Manchester United berterusan bersama Colombia pada kempen Copa America.

Sekalipun pemain bergelar “El Tigre” itu gagal mempamerkan taringnya di Chile, dia akan sekali lagi menjadi kapten apabila Colombia berdepan Argentina pada suku akhir pagi esok.

Jurulatih Colombia, Jose Pekerman menegaskan posisi Falcao terjamin walaupun tidak beraksi dengan baik sekali gus mencetus persoalan sama ada pemain berusia 29 tahun itu patut memberi laluan kepada penyerang FC Porto, Jackson Martinez.

Falcao bagaikan tidak bermain ketika Colombia dikejutkan Venezuela pada perlawanan pertama dan hanya melakukan dua percubaan ke arah gol ketika menang 1-0 ke atas Brazil serta satu percubaan apabila seri 0-0 dengan Peru.

Lagipun, Colombia sering dilihat lebih mengancam apabila Martinez menggantikan Falcao selepas sejam pada perlawanan menentang Peru Ahad lalu, gerakan dan fizikalnya lebih tajam berbanding kaptennya.

Lebih mengharukan, Falcao diperlekeh dalam media sosial kerana insiden ketika seri dengan Peru apabila dia secara sengaja merebahkan badan sambil menekup mukanya selepas diterjah Carlos Zambrano.

Rakaman video jelas menunjukkan Zambrano langsung tidak menyentuh Falcao.

Setakat ini bagaimanapun Falcao kekal pemain pilihan utama Pekerman, yang tetap percaya persembahan buruk itu mungkin sementara.

“Benar, sesetengah pemain tidak berjaya mempamerkan aksi terbaik mereka, kami tidak cuba menyembunyikannya,” jelas Pekerman.

“Tapi kami tahu siapa pemain itu dan kami tahu apa yang mereka boleh lakukan.

“Saya sedar ia mungkin sukar bagi sesetengah orang, tapi saya fikir penting untuk menyokong pemain berbakat,” ujar Pekerman merujuk kepada Falcao, yang menjaringkan 25 gol dalam 60 penampilan antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2015 @ 8:35 AM