Temuco, Chile: Kehilangan pemain tengah Edwin Valencia pada pertengahan babak kedua menjadi titik tolak apabila Colombia seri 0-0 dengan Peru pada Copa America semalam, dakwa jurulatih Jose Pekerman.

Kemenangan 2-1 Brazil ke atas Venezuela, yang membantu mereka menjuarai Kumpulan C dan bertemu Paraguay pada suku akhir, bermakna Colombia turut mara sebagai pasukan kedua terbaik di tangga ketiga sekali gus menentang juara Kumpulan B, Argentina, pagi Sabtu ini.

Peru turut mempunyai perbezaan gol sama seperti Colombia namun berakhir sebagai naib juara kumpulan kerana menjaringkan lebih banyak gol dan layak ke suku akhir bertemu Bolivia, naib juara Kumpulan A di belakang tuan rumah Chile.

“Kami mencuba segala-galanya, Colombia sering tampil untuk memenangi perlawanan. Kami patut menang kerana pada babak pertama banyak memberi tekanan terhadap Peru,” kata Pekerman.

“Tapi kami mengalami kecederaan yang tidak dijangka, tidak kena pada waktunya dan tidak bernasib baik. Ia situasi sukar... Valencia tonggak utama yang membuatkan semua pemain kami cergas.”

Colombia hilang rentak selepas Valencia mengalami kecederaan lutut kanan yang serius pada minit ke-20 dan terpaksa diganti Alexander Mejia. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 9:24 AM