RAMAI penagih  menjadi agresif serta berhalusinasi selepas mengambil dadah.
RAMAI penagih menjadi agresif serta berhalusinasi selepas mengambil dadah.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Penggunaan dadah terutamanya jenis sintetik dalam jangka masa panjang boleh mengubah struktur kecil dalam otak, sekali gus berisiko menyebabkan penyakit psikiatri akut serta psikiatri kronik.

Pakar Perunding Psikiatri dan Psikiatri Penagihan (Melawat) Alaminda Specialist Clinic Dr Mohd Fadzli Mohamad Isa berkata, sikap seseorang boleh berubah dengan pengambilan dadah kerana ia adalah sejenis bahan psikoaktif.

"Perubahan sikap boleh berlaku secara akut selepas pengambilan dadah sebelum ia menjadi kronik dan berterusan disebabkan dorongan untuk sentiasa mengambil dadah.

"Malah, ia juga berlaku kerana ciri-ciri psikoaktif pada dadah boleh mengubah cara otak berfungsi dan memproses maklumat.

"Kerencatan fungsi kognitif otak ini akan mempengaruhi sikap, tingkah laku serta emosi seseorang yang mengambil dadah," katanya kepada Harian Metro.

Mohd Fadzli berkata, perubahan sikap dalam jangka masa panjang dan kronik berlaku kerana seorang pengguna dadah akan memperhambakan diri sendiri untuk mendapatkan, menggunakan dan kemudian keluar daripada kesan dadah itu.

"Ini menyebabkan individu itu mengabaikan kefungsian hidup dan keperluan asas lain seperti pembelajaran, pekerjaan, perhubungan stabil, keluarga, masyarakat dan lain-lain.

"Seluruh kapasiti kendiri dan kehidupan akan didedikasikan kepada pengambilan dadah. Akibatnya, mereka akan kehilangan pekerjaan, pendapatan dan sokongan.

"Ia menjadi asbab berlakunya kes jenayah kecil seperti perjudian haram, seluk saku, ragut, curi dan pecah rumah kerana mereka memerlukan wang bagi mendapatkan dadah," katanya.

Beliau berkata, ramai penagih dadah menjadi agresif serta berhalusinasi selepas mengambil dadah kerana sifat psikoaktif dadah menyebabkan perubahan paras neurotransmitter (bahan kimia semulajadi untuk otak berfungsi) seperti dopamine, serotonin dan noradrenaline.

"Dadah juga mengubah cara sistem-sistem saraf di otak berfungsi. Sistem ini menjadi tunggang terbalik dan kacau-bilau kerana terpaksa beradaptasi terhadap kesan-kesan psikoaktif yang disebabkan oleh dadah.

"Ini mengakibatkan gejala psikosis seperti delusi dan halusinasi untuk berlaku. Delusi dan halusinasi ini akan mempengaruhi cara seseorang bertindak balas dengan persekitaran mereka.

"Ada juga risiko terjadi kehilangan pertimbangan dan kegagalan membuat keputusan sehingga membahayakan diri sendiri (penagih dadah) atau orang lain," katanya.

Menurutnya, dadah boleh menjadi antara punca masalah psikiatri terutama jika ia digunakan dalam jangka masa panjang, secara kerap atau tiba-tiba digunakan dalam kuantiti tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 6:30 AM