Reuters

Temuco, Chile: Penyerang Peru, Paolo Guerrero menyumbat hatrik bagi membantu kemenangan selesa 3-1 pasukannya ke atas Bolivia pada Copa America semalam, sekali gus mencetus pertembungan separuh akhir dengan tuan rumah Chile.

Guerrero meledak dua gol pantas dalam tempoh tiga minit pada pertengahan babak pertama untuk meletakkan Peru dalam kedudukan terbaik pada perlawanan suku akhir di bandara raya selatan Chile, Temuco.

Gol pertamanya menerusi tandukan hasil hantaran silang Juan Vargas, gol kedua menerusi serangan balas pantas berikutan sepakan sudut dan gol ketiga hadir pada minit ke-74 apabila pemain tengah Bolivia, Danny Bejarano terhantar bola kepadanya dan menyaksikannya hanya berdepan dengan penjaga gol.

Marcelo Moreno menjaringkan gol saguhati lewat perlawanan melalui sepakan penalti selepas Damian Lizio dijatuhkan dalam kotak penalti namun Peru tidak langsung tergugat dan akan berdepan Chile awal minggu depan pada separuh akhir pertama Copa America.

“Kami semakin bagus,” kata Guerrero, yang menghampiri rekod Teofilo Cubillas bagi gol terbanyak Peru sepanjang zaman.

“Tidak ramai yakin dengan kami sebelum kejohanan ini tapi sekali lagi kami membuktikan sebagai sebuah pasukan yang bagus.”

Peru, yang turut layak ke separuh akhir Copa America 2011, menguasai sejak awal dan patut lebih selesa ketika rehat.

Selepas dua gol awal Guerrero, rakan serangannya Jefferson Farfan kecewa apabila rembatan leretnya terkena tiang dan kemudian menggegar palang menerusi sepakan percuma lencong.

Peluang terbaik Bolivia hadir menerusi tandukan Moreno namun penjaga gol Peru, Pedro Gallese bertindak cemerlang menyelamatkannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2015 @ 5:13 AM